Advertisement

Pelajar FPTP UTHM Terokai Inovasi Pembinaan di International Construction Week (ICW 2026) MITEC

Oleh: Ts. Dr Nur Arzwin binti Mohamed Aris

KUALA LUMPUR, 11 November 2026 – Seramai 30 orang pelajar jurusan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai satu lawatan akademik yang berimpak tinggi ke pameran antarabangsa International Construction Week (ICW) 2026 dan BUILDXPO.

Program yang memfokuskan kepada evolusi inovasi sektor pembinaan ini berlangsung dengan jayanya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Membawa tema “Beyond Limits”, pameran edisi kali ini dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 November 2026 dan menghimpunkan pemain industri utama, pakar teknologi, pemaju hartanah, serta pengeluar bahan binaan dari seluruh rantau.

Lawatan ini merupakan inisiatif proaktif pihak fakulti bagi memastikan para pelajar mendapat pendedahan dunia sebenar secara langsung.

Ia bertujuan merapatkan jurang antara teori pengurusan perniagaan yang dipelajari di bilik kuliah dengan cabaran pengoperasian sebenar dalam industri pembinaan berskala mega.

Sepanjang berada di ekspo tersebut, delegasi pelajar FPTP UTHM berpeluang meneroka pelbagai reruai pameran yang mempamerkan teknologi automasi dan pembinaan termaju.

Antara pameran yang menjadi tumpuan termasuklah aplikasi Sistem Binaan Berindustri (IBS), kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan keselamatan tapak, perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), dan inovasi bahan binaan mesra alam bagi menyokong inisiatif bangunan hijau.

Bagi pelajar berlatarbelakangkan pengurusan teknologi, pendedahan ini membuka mata mereka terhadap aspek kritikal pengurusan rantaian bekalan, kecekapan kos, kelestarian projek, dan pengurusan inovasi dalam ekosistem pembinaan.

Program lapangan di peringkat antarabangsa seperti ICW 2026 ini bukan sahaja bertindak sebagai platform untuk para pelajar melihat sendiri kemajuan teknologi fizikal, malah menjadi medium penting bagi pertukaran idea.

Sesi interaksi bersama pempamer tempatan dan antarabangsa memberikan kelebihan kepada delegasi pelajar untuk memahami ekspektasi majikan masa kini serta keperluan pasaran kerja yang menuntut graduan tangkas (agile) dan celik teknologi.

Secara keseluruhannya, lawatan industri ke ICW 2026 ini telah mencapai objektifnya untuk membentuk minda pelajar UTHM yang lebih holistik dan berpandangan jauh.

Pengalaman berharga yang diperoleh 30 pelajar FPTP ini pastinya menjadi nilai tambah yang sangat bermakna dalam profil akademik mereka, sekaligus mempersiapkan mereka untuk menjadi bakal peneraju industri pengurusan teknologi yang berdaya saing di peringkat global.

Total Views: 25