Advertisement

FSKTM UTHM himpunkan 60 peserta, perkukuh jaringan alumni merentas dua dekad

Oleh: Cik Siti Haslinda binti Mukhtar dan Dr. Muhammad Nazim bin Razali

BANGI, 31 Oktober 2026 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menghimpunkan seramai 60 peserta menerusi program FSKTM Alumni Networking 2026 yang berlangsung di Lake House Bangi, Selangor.

Program yang menghimpunkan alumni daripada pelbagai kohort pengajian, termasuk alumni seawal tahun 2006, menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh jaringan profesional antara alumni, bakal graduan, mahasiswa dan warga fakulti.

Program anjuran FSKTM dengan kerjasama Information Technology Club (ITC), FSKTM UTHM ini diketuai oleh Pengarah Program merangkap Penyelaras Alumni, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), FSKTM, Dr. Muhammad Shukri bin Che Lah bersama barisan jawatankuasa pelaksana.

Majlis dimulakan dengan sesi jaringan perniagaan alumni, diikuti ucapan aluan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FSKTM, Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman serta ucapan perasmian oleh Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan bin Md. Fudzee.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa alumni merupakan aset penting kepada institusi pendidikan kerana kejayaan mereka dalam pelbagai bidang bukan sahaja mencerminkan kualiti pendidikan yang diterima, malah menjadi inspirasi kepada generasi pelajar masa kini.

Menurut beliau, pengalaman, kepakaran dan pencapaian alumni merupakan sumber bernilai yang mampu menyumbang kepada pembangunan fakulti, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.

“Kita mahu hubungan antara fakulti dan alumni bergerak lebih jauh daripada sekadar hubungan nostalgia. Kita mahu membina satu ekosistem yang saling menyokong, di mana alumni dapat menyumbang kepada pembangunan fakulti dan fakulti pula terus menjadi platform yang menghubungkan alumni dengan generasi seterusnya,” katanya.

Beliau turut berharap agar jaringan alumni yang dibina dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik, termasuk latihan industri, perkongsian kepakaran, bimbingan kerjaya, penempatan pekerjaan, projek bersama industri serta sumbangan idea dalam memperkukuh kurikulum dan program akademik fakulti.

Selain itu, penglibatan bakal graduan dan ahli ITC dalam program berkenaan turut memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan alumni, mendapatkan pandangan berkaitan perkembangan industri serta membina rangkaian profesional sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Program diteruskan dengan sesi ramah mesra, persembahan khas dan aktiviti Duck Race Challenge yang menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.

Penganjuran FSKTM Alumni Networking 2026 mencerminkan komitmen berterusan FSKTM UTHM dalam memperkasakan hubungan alumni sebagai rakan strategik ke arah pembangunan mahasiswa, fakulti dan industri, sekali gus memastikan hubungan yang terjalin terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Total Views: 56