Advertisement

Kepakaran AI mahasiswa FSKTM UTHM terima pengiktirafan Kerajaan Johor

Oleh: Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman dan Prof. Madya Dr. Nureize Binti Arbaiy

JOHOR BAHRU, 3 November – Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membuktikan kehebatan mereka di pentas digital. Kepakaran para pelajar dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) telah diiktiraf secara rasmi pada Majlis Apresiasi Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) AI Negeri Johor 2026 yang berlangsung meriah di Pulai Springs Resort.

Majlis yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini bertujuan menghargai komitmen dan kerjasama strategik antara UTHM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda reformasi perkhidmatan awam.

Melalui teks ucapan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Yang Berhormat Dato’ Haji Nasri bin Md. Ali yang disampaikan oleh Pengarah Wilayah Selatan MPC, Encik Mohd Azwan Mohd Salleh, kerajaan negeri menzahirkan penghargaan atas kejayaan merealisasikan 36 projek RKB.

Ucapan oleh Pengarah Wilayah Selatan

Inisiatif pendigitalan hebat ini dijangka menyumbang kepada penjimatan kos operasi yang sangat signifikan, mencecah RM81.9 juta setahun.

Apa yang paling membanggakan, projek RKB daripada pihak UTHM ini dibangunkan sepenuhnya oleh 13 orang pelajar menerusi subjek Projek Sarjana Muda 1. Berbekalkan dedikasi yang tinggi, mereka berjaya menyiapkan prototaip projek dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

Pembentangan Projek AWMS oleh mahasiswa FSKTM, UTHM

Wakil pelajar FSKTM, Muhammad Danial bin Shaharuddin, yang diberi penghormatan untuk mewakili mahasiswa UTHM dalam ucapannya, menyifatkan program RKB AI ini sebagai platform keemasan. Menurutnya, ia membolehkan pelajar menterjemah teori akademik kepada penyelesaian praktikal untuk mengatasi cabaran birokrasi dunia sebenar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPC, Kerajaan Negeri Johor, UTHM, dan Pejabat Daerah Pontian atas sokongan yang diberikan.

Inovasi milik Danial, iaitu AI Welfare Management System (AWMS) untuk kegunaan Pejabat Daerah Pontian, telah menjadi tumpuan utama dan dipilih untuk dibentangkan.

Projek yang diselia oleh Prof. Madya Dr. Muhaini Othman dan Prof. Madya Dr. Noraini Ibrahim ini dilengkapi enjin AI berpusat yang menggunakan Pengecaman Aksara Optik (OCR) untuk membaca borang e-Kasih dan Rumah Kasih Johor secara automatik.

Penyerahan Sijil Penghargaan kepada Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman

Lebih canggih lagi, sistem ini mampu mengesan pertindihan permohonan secara masa nyata, memberi syor kelayakan secara objektif (Rule Based), dan mempunyai fungsi Chatbot untuk carian maklumat.

Sebagai simbolik pengukuhan jalinan strategik ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq dan Dekan FSKTM, Profesor Ts. Dr. Mohd Farhan bin Md. Fudzee telah menerima Sijil Rakan Strategik daripada penganjur.

Acara diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar dan pensyarah pembimbing yang telah mencurahkan keringat menjayakan transformasi digital ini. Tahniah buat warga FSKTM UTHM.

Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq, TNCHEPA, UTHM menerima Sijil Rakan Strategik Negeri Johor
Total Views: 40