Advertisement

BITARA KASIH TUAH TEJA SANTUNI MAHASISWA MENJELANG PEPERIKSAAN AKHIR

oleh : Netty Muhalizza binti Mohd Fadzil

DURIAN TUNGGAL, – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan komitmennya dalam memperkasa kebajikan mahasiswa menerusi pelaksanaan Program Bitara Kasih TUAH TEJA, sebuah inisiatif anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) [HEPA] yang dilaksanakan setiap musim peperiksaan.

Program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 2023 ini menyaksikan penyampaian sarapan percuma kepada mahasiswa seawal 8.00 pagi di penempatan peperiksaan sama ada di fakulti-fakulti, Kompleks Dewan Kuliah dan Dewan Canselor, UTeM. Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar membuat persiapan awal dengan lebih tenang sebelum memasuki dewan peperiksaan, di samping memastikan mereka memperoleh nutrisi yang mencukupi bagi menyokong prestasi pembelajaran.

Selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi agenda KPT Prihatin, Program Bitara Kasih TUAH TEJA memberi penekanan terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa. Selain membantu meringankan beban kos sara hidup, program ini mencerminkan keprihatinan universiti dalam memastikan mahasiswa dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan lebih bersedia, fokus dan bermotivasi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, berkata inisiatif seperti ini membuktikan bahawa kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan universiti dan perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi impak secara langsung kepada kehidupan pelajar.

“Program Bitara Kasih TUAH TEJA bukan sekadar menyediakan sarapan pagi kepada mahasiswa, tetapi merupakan simbol keprihatinan universiti terhadap kesejahteraan mereka. Apabila keperluan asas mahasiswa diberi perhatian, mereka akan lebih tenang, fokus dan berkeyakinan untuk memberikan prestasi terbaik dalam peperiksaan. Inilah komitmen UTeM dalam memastikan setiap mahasiswa terus disantuni sepanjang perjalanan mereka menuntut ilmu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi memastikan kelangsungan dan impak program ini dapat diteruskan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) membuka peluang kepada agensi kerajaan, sektor swasta, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu untuk menyumbang sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh kebajikan mahasiswa UTeM.

Menurut beliau lagi, penglibatan pelbagai pihak melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sahaja membantu meringankan beban mahasiswa, malah mencerminkan semangat kebersamaan dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berakhlak.

UTeM berharap Program Bitara Kasih TUAH TEJA akan terus menjadi platform yang menghubungkan universiti, alumni, rakan strategik dan masyarakat dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa, sekali gus memastikan setiap pelajar mendapat sokongan yang sewajarnya untuk mencapai kecemerlangan akademik dan pembangunan diri secara menyeluruh.