Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasidi bin Ibrahim
JOHOR BAHRU, 31 Oktober – Usia senja bukan alasan untuk seseorang dilupakan, sebaliknya golongan warga emas perlu terus disantuni, dihargai dan diberikan perhatian sebagai tanda penghormatan terhadap kehidupan serta pengorbanan mereka selama ini.
Berlandaskan semangat itu, Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan program Sinar di Hujung Senja: Membawa Sinar, Mencipta Bahagia di Pusat Jagaan Warga Emas Anwarul Mahabbah, Jalan Kasawari, Larkin Jaya, Johor Bahru.
Program yang menghimpunkan 60 peserta terdiri daripada 32 penghuni warga emas, 24 ahli jawatankuasa pelajar dan empat pensyarah FKMP itu bertujuan menyantuni golongan berkenaan, mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai nilai keprihatinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh wakil pusat jagaan, Puan Hayati binti Saad, dan wakil FKMP, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasidi bin Ibrahim, sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang dirancang bagi memberikan pengalaman bermakna kepada para penghuni.
Antara pengisian utama ialah sambutan Maulidur Rasul yang diserikan dengan persembahan qasidah dan selawat secara beramai-ramai, sekali gus mewujudkan suasana penuh ketenangan dan kemesraan antara mahasiswa dengan penghuni pusat jagaan.

Lebih menyentuh hati, program itu turut meraikan penghuni yang menyambut hari lahir bagi bulan Jun hingga Oktober menerusi acara nyanyian dan pemotongan kek. Sambutan sederhana itu menjadi ruang untuk warga emas merasai kegembiraan apabila hari istimewa mereka turut diingati dan diraikan bersama.
Sambutan Hari Warga Emas pula dimeriahkan dengan permainan interaktif, persembahan tarian zapin serta penyampaian pek penjagaan kepada para penghuni. Pengisian tersebut bukan sahaja memberikan hiburan, malah membuka peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara lebih dekat dan memahami keperluan golongan berkenaan.
Keunikan program turut terserlah menerusi penganjuran Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang disemarakkan dengan persembahan silat, nyanyian lagu patriotik serta laungan merdeka, sekali gus menghidupkan semangat cinta akan negara dalam kalangan penghuni dan peserta.
Sebagai tanda penghormatan terhadap ketabahan dan semangat kehidupan, penghargaan khas turut disampaikan kepada Tok Da Abu bin Awal menerusi Anugerah Wira Pejuang Kehidupan, manakala Nenda Hazimah binti Haron menerima Anugerah Srikandi Waja. Pengiktirafan tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap kekuatan dan perjalanan hidup insan yang telah melalui pelbagai pengalaman dan cabaran.
Tidak terhad kepada aktiviti berbentuk santai dan sambutan, mahasiswa turut melaksanakan gotong-royong membersihkan serta mengemas kawasan pusat jagaan. Aktiviti berkenaan memperlihatkan bahawa semangat kesukarelawanan bukan sekadar hadir untuk meraikan, tetapi turut diterjemahkan melalui sumbangan tenaga dan tindakan yang memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti.

Dalam usaha menyokong kebajikan penghuni, NOVA turut menyumbangkan pek penjagaan, selain sumbangan lain yang diterima daripada orang perseorangan dan masyarakat setempat. Program diteruskan dengan ucapan penutup sebelum penyerahan sumbangan kepada pihak Pusat Jagaan Warga Emas Anwarul Mahabbah.
Secara keseluruhannya, Sinar di Hujung Senja menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, khususnya golongan warga emas. Pengalaman tersebut penting dalam membentuk generasi graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai empati, sikap hormat-menghormati dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti serta menyemai budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Sesungguhnya, ukuran sebuah pengabdian bukan pada nilai sumbangan yang diberikan, tetapi pada keikhlasan menyentuh hati dan mencipta bahagia dalam kehidupan insan lain. Kerana di hujung senja kehidupan, perhatian dan kasih sayang merupakan antara hadiah paling bermakna.
#UTHM #UTHMJohor #FKMP #PersatuanPelajarMekanikal #SinarDiHujungSenja #MembawaSinarMenciptaBahagia #MahasiswaPrihatin #SukarelawanUTHM #KhidmatKomuniti #MahasiswaHolistik #UTHMLeadingTowardsExcellence















