Advertisement

MPP UMT Sesi 2026/2027 Digesa Jadi Penghubung Berkesan Suara Mahasiswa dan Pengurusan Universiti

KUALA NERUS, 2 November – Seramai 22 mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilantik menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2026/2027 menerusi Majlis Watikah Pelantikan MPP UMT yang berlangsung di sini hari ini.

Majlis penyampaian watikah pelantikan itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, sebagai simbolik pengiktirafan dan amanah kepada barisan kepimpinan mahasiswa yang akan menggalas tanggungjawab mewakili suara serta kepentingan pelajar sepanjang sesi berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 21 mahasiswa dipilih menerusi Pilihan Raya Kampus (PRK), manakala seorang lagi dilantik sebagai MPP Lantikan bagi mewakili skop inklusif, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan mahasiswa orang kurang upaya (OKU).

Dalam ucapannya, Suriyani berharap barisan MPP yang dilantik dapat memainkan peranan sebagai pengantara (mediator) yang berkesan antara pihak pengurusan universiti dengan mahasiswa, khususnya dalam memastikan setiap pandangan, aspirasi dan isu yang dibangkitkan dapat disampaikan secara konstruktif.

Beliau berkata MPP bukan sekadar badan perwakilan, sebaliknya perlu menjadi rakan strategik universiti dalam membina hubungan komunikasi dua hala yang baik, selain membantu mencari penyelesaian terhadap isu yang melibatkan kepentingan mahasiswa.

Ryan Shaqel Resduan, pelajar Tahun Tiga program Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim), dilantik sebagai Yang Dipertua MPP UMT sesi 2026/2027.

Sementara itu, Ryan Shaqel berkata beliau bersama seluruh barisan MPP akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengangkat suara dan memperjuangkan kepentingan mahasiswa, selain memastikan amanah yang diberikan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan suara setiap mahasiswa didengari tanpa mengira latar belakang dan bidang pengajian. Kami juga komited untuk memberikan yang terbaik serta menjadi barisan kepimpinan yang mampu membawa perubahan positif kepada komuniti mahasiswa UMT,” katanya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad, serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, selain pegawai utama dan pegawai kanan universiti.

Total Views: 11