Advertisement

Program University To Community (UTC) 3.0 Perkasa Mahasiswa Sebagai Agen Keusahawanan Sosial, Pacu Ekonomi Komuniti Terpilih

Oleh: Nur Nabilah Nazri & Khoirun Nisya Ruslan

Tanjong Malim – Program University to Community (UTC) 3.0 melabuhkan tirainya dengan jayanya menerusi Majlis Perasmian Penutupan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UPSI itu melibatkan 21 institusi pendidikan tinggi (IPT), 84 mahasiswa dan 21 mentor dalam usaha memperkasakan keusahawanan sosial serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti.

Sebelum majlis bermula, Dr. Zambry turut meluangkan masa melawat reruai pameran bagi meninjau hasil projek keusahawanan sosial mahasiswa bersama komuniti, termasuk inovasi berasaskan teknologi yang dibangunkan sepanjang program.

Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, sebelum ucapan perasmian penutupan oleh Menteri Pendidikan Tinggi.

Dalam ucapannya, Dr. Zambry menekankan kepentingan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya mencipta peluang ekonomi dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan UTC 1.0 hingga UTC 3.0 telah menjana hasil keseluruhan sebanyak RM1.4 juta, sekali gus membuktikan potensi kerjasama antara universiti dan komuniti dalam pembangunan keusahawanan sosial.

Sejurus selepas gimik perasmian dan tayangan montaj, majlis menyaksikan pengumuman kejayaan 18 IPT memperoleh Penarafan Tunas Perusahaan Sosial (Aspiring Social Enterprise) melalui kerjasama strategik dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek replika sumbangan berjumlah RM150,000.00 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kepada Menteri Pendidikan Tinggi sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan UTC 3.0.

Kemuncak majlis menyaksikan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Projek Terbaik dan Pembentangan Terbaik, manakala Universiti Multimedia (MMU) meraih Anugerah Pempamer Terbaik.

UTHM turut menerima Anugerah Komuniti Terbaik, sementara Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Mentor Terbaik. Anugerah Khas PUNB turut diberikan melalui kategori Emas, Perak dan Gangsa sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian peserta.

Penganjuran UTC 3.0 dengan sokongan rakan strategik INSKEN dan PUNB membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan tinggi, industri dan komuniti bagi melahirkan usahawan sosial mahasiswa yang inovatif, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat secara mampan.

Total Views: 2