Disediakan oleh: Zailiana Shahira Ahamad Zinal dan Aaqila Azahan
Tanjong Malim, 13 Oktober 2026 – Program KUOVERSE: New Chapters Begin telah berjaya dianjurkan pada 12 dan 13 Oktober 2026 di Dewan Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program anjuran Exco Hal Ehwal Residensi ini bertujuan menjadi platform pengenalan bagi penghuni baharu untuk mengenali felo, pihak pentadbiran kolej dan barisan Majlis Mahasiswa Kolej. Pada masa yang sama, program ini memperkukuh hubungan sesama penghuni dalam usaha membentuk kehidupan kampus yang harmoni dan inklusif.
Program dimulakan dengan aktiviti ice breaking yang melibatkan penghuni baharu bagi mencetuskan suasana mesra serta membina interaksi awal. Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan yang memukau daripada kumpulan Citra Arjana, iaitu kelab seni dan budaya Kolej Ungku Omar, yang berjaya mencuri perhatian para hadirin menerusi gerak tari yang penuh mempesona.

Dalam sesi ucapan, Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Dr. Hj. Nizam Nasrifan, menegaskan agar menjaga kebersihan dan keharmonian persekitaran kolej bagi mencegah penularan penyakit berbahaya seperti demam denggi. Beliau turut menekankan aspek keselamatan dan kebajikan diri khususnya bagi pelajar semester satu agar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta menjalani kehidupan kolej dengan lebih selesa dan teratur.
Pengisian program merangkumi sesi pengenalan pihak pengurusan dan barisan felo kolej bagi memberi gambaran jelas tentang sistem pentadbiran serta sokongan kepada penghuni. Penerangan mengenai kemudahan kolej dan aspek pengurusan kediaman yang disampaikan oleh Encik Muhamad Hafiz Abd Manap turut menerangkan kemudahan kolej dan pengurusan kediaman, serta menegaskan supaya penghuni KUO perlu sentiasa aktif dalam program yang dianjurkan bagi memupuk semangat kebersamaan dan membentuk sahsiah mahasiswa.



Ketua Felo, Puan Siti Norhuda Md Ali yang menjelaskan tentang garis panduan dan etika yang perlu dipatuhi oleh setiap penghuni KUO bagi menjamin keselamatan dan persekitaran kolej yang kondusif, di samping membentuk mahasiswa yang berdisiplin, bertanggungjawab dan sentiasa peka terhadap peraturan yang telah ditetapkan.
Barisan kepimpinan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar turut diperkenalkan bagi memberi ruang kepada penghuni mengenali wakil mahasiswa yang berperanan menyampaikan pandangan, menangani isu kebajikan dan menjadi penghubung dengan pihak pentadbiran. Pengenalan ini diharapkan dapat menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kolej serta membentuk hubungan yang lebih terbuka antara kepimpinan dan warga penghuni.

Program diakhiri dengan sesi dialog dan soal jawab secara terbuka yang memberi peluang kepada penghuni meluahkan pertanyaan serta mendapatkan penjelasan terus daripada pihak pengurusan. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif sebagai wadah pengenalan, memperkukuh hubungan sesama penghuni dan membina semangat kebersamaan dalam kalangan warga Kolej Ungku Omar.













