Oleh : Muhamad Syafik Rahmat
JOHOR BAHRU, 28 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memberikan penekanan terhadap kesejahteraan mental sebagai komponen penting dalam memperkukuh agenda kesejahteraan pelajar secara menyeluruh menerusi penganjuran Sambutan Hari Kesihatan Mental dan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat UTM 2026.
Program anjuran Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling (PPPK) yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2026 di Blok S41, Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling (PPPK) UTM Johor Bahru itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar dengan penyertaan seramai 150 orang.

Penganjuran ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, menggalakkan budaya mendapatkan bantuan tanpa stigma serta memperkukuh persekitaran kampus yang lebih prihatin, inklusif dan menyokong kesejahteraan psikologi pelajar.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Mohd Shahrizal menegaskan bahawa kesejahteraan mental perlu diberikan perhatian berterusan, mengambil kira pelbagai cabaran yang dihadapi pelajar termasuk tekanan akademik, kewangan, keluarga dan hubungan sosial.
“Kita perlu membina budaya di UTM yang membolehkan seseorang berkata, ‘Saya perlukan bantuan,’ tanpa berasa malu atau takut dilabel. Kesejahteraan mental bukan agenda sampingan, tetapi sebahagian daripada agenda kesejahteraan pelajar yang perlu diberikan perhatian secara berterusan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan beralih daripada pendekatan reaktif kepada lebih proaktif melalui pendidikan, pencegahan, intervensi awal dan sistem sokongan yang mudah dicapai, dengan penglibatan pensyarah, fakulti, kolej kediaman, persatuan pelajar serta rakan sebaya.
Pelancaran Modul Digital Detox UTM menjadi antara pengisian utama program sebagai inisiatif PPPK untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital secara sihat dan seimbang dalam kalangan warga universiti.
Menurut beliau, meskipun teknologi memainkan peranan penting dalam pembelajaran dan kehidupan seharian, penggunaannya memerlukan disiplin serta kawalan kendiri bagi memelihara keseimbangan antara kehidupan digital, hubungan sosial dan kesejahteraan diri.
“Digital Detox bukan bermaksud kita menolak teknologi. Sebaliknya, kita mahu warga UTM mempunyai kebijaksanaan untuk mengurus teknologi secara sihat dan seimbang serta tahu bila perlu connected, tahu bila perlu disconnect, tahu bila perlu melihat skrin dan tahu bila perlu melihat manusia di hadapan kita (bersosial)” katanya.
Beliau berharap modul tersebut dapat dimanfaatkan secara meluas dan diterjemahkan kepada perubahan positif dalam amalan harian pelajar.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan bagi menggalakkan penglibatan warga kampus dalam penjagaan kesejahteraan mental. Antaranya ialah pengalaman realiti maya (VR Experience), webinar dalam talian serta pameran interaktif seperti Miraculous Jar, Let It Go, The Masterpiece, Teach Me A Lesson dan Mindfulness.



Program turut menampilkan aktiviti Gratitude Corner, Reflect & Strap It!, Cabaran Sherlock Holmes serta terapi urutan untuk lelaki dan wanita, sekali gus menyediakan pendekatan yang lebih santai dan interaktif dalam meningkatkan kesedaran tentang kesejahteraan diri.
Selain itu, program ini mengetengahkan kepentingan nilai ADAB, empati dan keprihatinan dalam membentuk komuniti universiti yang saling menyokong.
Prof. Dr. Mohd Shahrizal menjelaskan bahawa warga universiti tidak semestinya perlu menjadi kaunselor untuk menunjukkan keprihatinan. Tindakan mudah seperti bertanya khabar, mendengar tanpa menghakimi dan membantu seseorang mendapatkan sokongan profesional mampu memberikan makna besar kepada individu yang memerlukan.
Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, penganjuran ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh ekosistem kesejahteraan pelajar melalui sokongan psikologi yang mudah dicapai, responsif dan berorientasikan pencegahan.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru pelajar agar tidak menghadapi cabaran secara bersendirian, warga universiti supaya membudayakan sikap saling menjaga serta semua pihak terus memperkukuh sistem sokongan kesejahteraan mental.
Melalui inisiatif ini, UTM terus berusaha membina persekitaran kampus yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan, tetapi juga memastikan setiap pelajar berasa didengari, dihargai dan disokong dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Sumber: UTM NewsHub












