Oleh : Dr. Nor Faizah Binti Bawadi
Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) / Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam
Dr. Muhamad Izaidi Ishak
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Ilmu dan kemahiran yang diperoleh pelajar daripada pelbagai bidang pengajian mempunyai potensi untuk dikembangkan menjadi perniagaan yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan. Bagi merealisasikan potensi tersebut, institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu membantu pelajar menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan pelanggan serta peluang pasaran sejak sebelum mereka bergraduat.
Universiti, politeknik dan kolej komuniti boleh memainkan peranan ini melalui pendidikan keusahawanan yang disepadukan dengan bidang pengajian masing-masing. Pendedahan kepada asas pengurusan kos, aliran tunai, penetapan harga dan pemasaran dapat membantu pelajar memahami keusahawanan sebagai salah satu pilihan kerjaya yang boleh diterokai berdasarkan minat, kemahiran dan kesediaan mereka.
Kepelbagaian bidang pengajian turut membuka ruang kepada kerjasama rentas disiplin dalam membangunkan perniagaan. Ilmu kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan, misalnya, boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk serta menambah baik proses operasi, manakala sains sosial membantu memahami tingkah laku pengguna dan keperluan komuniti. Gabungan kepakaran ini membolehkan produk dan perkhidmatan dibangunkan berdasarkan masalah sebenar serta mempunyai nilai yang relevan kepada pasaran.
Bagi membina asas keusahawanan yang kukuh, pelajar perlu didedahkan kepada pengalaman mengenal pasti masalah pengguna, meneroka penyelesaian berasaskan kepakaran masing-masing dan menilai potensi komersial idea yang dihasilkan. Pendedahan sejak di bangku pengajian dapat membantu mereka memahami bahawa ilmu akademik bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut teori dan amalan profesional, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan apabila dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan pasaran.
Penerapan ilmu keusahawanan boleh dilaksanakan melalui tugasan kursus dan projek tahun akhir dengan membimbing pelajar mencadangkan produk atau perkhidmatan, mengenal pasti kumpulan pelanggan sasaran serta menganggarkan kos pengeluaran. Temu bual pelanggan, demonstrasi produk dan jualan percubaan pula membolehkan mereka menguji permintaan pasaran, mendapatkan maklum balas dan menambah baik idea sebelum membuat pelaburan yang lebih besar.
Dalam membangunkan usahawan graduan, pemahaman terhadap kebolehlaksanaan perniagaan perlu diberikan perhatian. Sesuatu idea yang inovatif tidak semestinya mempunyai permintaan pasaran yang mencukupi. Oleh itu, pelajar perlu memahami hubungan antara keupayaan menghasilkan produk atau menawarkan perkhidmatan dengan keperluan pelanggan, kos pelaksanaan dan kesanggupan pengguna untuk membayar. Penilaian ini menjadi asas penting dalam menentukan daya maju sesuatu usaha niaga serta membantu pelajar membuat keputusan berkaitan penambahbaikan produk, penetapan harga dan strategi pemasaran.
Selain pendekatan pembelajaran, IPT juga perlu menyediakan ekosistem sokongan yang membolehkan pelajar mengembangkan idea kepada perniagaan sebenar. Kemudahan inkubator, ruang kerja, akses kepada makmal dan peralatan serta bimbingan mentor boleh disediakan mengikut keperluan projek. Dana pemula yang disertai pemantauan secara berperingkat turut membantu pelajar menguji idea pada skala kecil sambil mempelajari disiplin pengurusan sumber dan kewangan.
Kemahiran digital juga perlu menjadi sebahagian daripada proses pembangunan usahawan pelajar. Penggunaan platform dalam talian untuk memasarkan produk, merekod transaksi dan memahami maklum balas pelanggan dapat memperluas capaian perniagaan tanpa memerlukan kos operasi yang terlalu tinggi pada peringkat awal. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) pula berpotensi membantu penyelidikan pasaran, pembangunan kandungan promosi dan penjanaan idea. Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu disertai keupayaan menyemak ketepatan maklumat serta menilai kesesuaiannya dengan keadaan sebenar perniagaan.
Kerjasama dengan pihak industri, usahawan dan alumni dapat melengkapkan pengalaman pembelajaran dengan pendedahan kepada realiti dunia perniagaan. Melalui program pementoran, perkongsian pengalaman dan projek bersama, pelajar berpeluang memahami cabaran mendapatkan pelanggan, mengurus operasi, menjaga kualiti produk serta membina kepercayaan pasaran. Pengalaman ini penting bagi membantu mereka membuat persediaan yang lebih realistik sebelum memulakan perniagaan sendiri.
Pada masa yang sama, projek bersama komuniti boleh menjadi platform untuk menghubungkan kepakaran pelajar dengan keperluan sebenar masyarakat dan perusahaan kecil. Keperluan terhadap pemasaran digital, kajian pelanggan dan penambahbaikan proses operasi, misalnya, boleh diterjemahkan kepada tugasan yang memberi pengalaman praktikal kepada pelajar. Penyelesaian yang dihasilkan berpotensi dikembangkan menjadi perkhidmatan bernilai komersial, sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk menjana pendapatan melalui kepakaran yang dimiliki.
Sokongan institusi juga tidak seharusnya terhenti selepas graduasi. Klinik perniagaan, jaringan alumni dan hubungan dengan agensi pembangunan usahawan boleh menyediakan saluran bimbingan berterusan kepada graduan yang memerlukan bantuan dalam mengurus aliran tunai, mengembangkan pasaran atau menangani cabaran operasi. Sokongan susulan ini dapat membantu memastikan perniagaan yang dimulakan tidak sekadar menjadi percubaan sementara, sebaliknya mempunyai peluang untuk berkembang secara mampan.
Di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), TVETPreneur UniMAP merupakan antara contoh inisiatif yang menggabungkan pembangunan kapasiti keusahawanan, pendigitalan dan AI dengan penerapan kemahiran dalam bidang pertanian, batik serta ekonomi kitaran. Inisiatif anjuran Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) dengan sokongan dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menyasarkan pembangunan keusahawanan siswa berasaskan inovasi dan teknologi. Pendekatan seumpama ini memperlihatkan bagaimana kepakaran dan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan boleh diterjemahkan kepada peluang perniagaan yang lebih praktikal.
Usaha memperkukuh pendidikan keusahawanan ini selari dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 yang menekankan pembangunan persekitaran sokongan kepada usahawan pelajar melalui inovasi, penggunaan teknologi dan kerjasama berimpak tinggi. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 turut menggariskan kepentingan membentuk pelajar yang mempunyai sifat keusahawanan, berupaya berinovasi dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
Pendekatan tersebut juga menyokong aspirasi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 untuk melahirkan graduan yang tangkas dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan pasaran pekerjaan. Keupayaan mengenal pasti peluang, menilai risiko dan membuat keputusan berasaskan maklumat merupakan kemahiran penting untuk mengurus kerjaya, sama ada sebagai pekerja, usahawan atau pengasas perusahaan yang berpotensi berkembang.
Bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan memberikan impak, keberhasilan program keusahawanan IPT perlu dinilai berdasarkan perkembangan sebenar peserta. Antara aspek yang boleh diberikan perhatian termasuk keupayaan mendapatkan pelanggan, menjana jualan, mengekalkan operasi selepas tamat pengajian dan mengembangkan perniagaan. Bilangan pekerjaan yang diwujudkan apabila perusahaan berkembang juga boleh menjadi petunjuk kepada sumbangan keusahawanan graduan terhadap pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Perniagaan yang bermula sebagai usaha sendiri berpotensi berkembang menjadi perusahaan yang mampu menggaji tenaga kerja tambahan. Namun, perkembangan tersebut memerlukan persediaan, bimbingan dan sokongan yang berterusan. Oleh itu, peranan institusi pendidikan bukan sekadar memperkenalkan keusahawanan sebagai satu pilihan kerjaya, tetapi turut membina asas ilmu, kemahiran dan pertimbangan perniagaan yang kukuh.
Akhirnya, kejayaan pendidikan keusahawanan tidak hanya diukur melalui jumlah pelajar yang menyertai program atau bilangan idea perniagaan yang dihasilkan, tetapi juga melalui keupayaan graduan mengembangkan ilmu kepada penyelesaian yang diperlukan masyarakat dan mempunyai nilai ekonomi. Dengan ekosistem sokongan yang menyeluruh, graduan daripada pelbagai bidang berpeluang membina perniagaan berdasarkan kepakaran sendiri, menjana pendapatan dan seterusnya menjadi pencipta pekerjaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.















