Advertisement

Usia 52 tahun, Dalafizah kembali ke UTM mengejar impian ijazah

Oleh : Masnawi Miskam, Unit Media Dan Publisiti, JTNCHEPA UTM

JOHOR BAHRU, 18 Okt. – Selepas menangguhkan impian selama 27 tahun demi keluarga, Dalafizah Daud, 52, akhirnya kembali bergelar mahasiswa untuk merealisasikan hasrat menggenggam ijazah pertama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dalam kalangan mahasiswa baharu yang rata-ratanya berusia 19 hingga 21 tahun, kehadiran ibu kepada enam orang anak itu membawa kisah tersendiri tentang kesabaran, pengorbanan dan keazaman untuk terus menimba ilmu pada usia matang.

Dalafizah kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Harta Tanah dengan Kepujian di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM, sambil membina kerjaya sebagai Probationary Estate Agent (PEA3266) di Gather Properties-Mgroup.

Perjalanan akademiknya bermula apabila beliau menamatkan Diploma Pengurusan Hartanah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada 1999. Ketika itu, beliau sudah berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, namun memilih untuk tidak membebankan ibu bapanya dan memberi peluang kepada adik-beradik untuk bekerja terlebih dahulu.

Dalafizah Daud bersama rakan sekuliah ketika menghadiri program di Dewan Premier Sarawak, FABU, UTM Johor Bahru

Selepas berkahwin dan dikurniakan anak-anak, hasrat itu terus disimpan demi memberi tumpuan kepada keluarga. Beliau pernah mencuba menyambung pengajian menerusi SPACE, namun terpaksa berhenti selepas setahun kerana tanggungjawab membesarkan anak-anak yang masih kecil. Walaupun pengajian tertangguh, cita-citanya untuk memperoleh ijazah tidak pernah padam.

Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, Dalafizah mengumpul pengalaman dalam industri hartanah dengan bekerja di beberapa syarikat. Pengalaman itu menyedarkannya bahawa pengetahuan yang lebih mendalam dan pendidikan yang bersesuaian penting untuk menyokong perkembangan kerjayanya. Justeru, pengajian di UTM menjadi langkah untuk memperkukuh ilmu, meningkatkan profesionalisme dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran industri.

Ketika mendaftar sebagai mahasiswa baharu, beliau mengakui perasaannya bercampur-baur antara sebak, gementar dan bersyukur selepas penantian yang panjang.

“Ketika mengikuti program Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) UTM baru-baru ini, saya rasa penantian 27 tahun itu sangat berbaloi. Saya seronok dikelilingi ribuan pelajar yang sebaya dengan anak-anak saya,” katanya sambil berseloroh.

Pada awalnya, Dalafizah berasa kekok kerana perbezaan usia dengan rakan sekuliah. Namun, beliau kemudian melihat keadaan itu sebagai peluang untuk saling belajar. Rakan-rakannya membantunya menyesuaikan diri dengan teknologi, manakala beliau berkongsi pengalaman dalam membina keluarga dan kerjaya. Baginya, proses pembelajaran bukan sahaja berlangsung di bilik kuliah, malah turut berkembang melalui perkongsian pengalaman dan sokongan sesama mahasiswa.

Dalafizah di mercu tanda Kolej Tun Fatimah

Bagi Dalafizah, pengajian di UTM juga merupakan persediaan untuk mencapai matlamat profesional yang lebih besar. Beliau berhasrat mengembangkan kerjaya dalam industri hartanah dengan meneroka kelayakan profesional berkaitan bidang penilaian, agensi dan pengurusan hartanah, tertakluk pada syarat kelayakan serta pelesenan yang ditetapkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (BOVAEP).

Selain itu, beliau merancang menghasilkan buku elektronik (e-buku) dan menganjurkan kelas untuk membantu wanita lain meneroka peluang menjana pendapatan sampingan dalam bidang hartanah. Melalui perkongsian pengalaman dan ilmu, beliau berharap dapat meningkatkan keyakinan wanita untuk membangunkan potensi diri serta meneroka peluang kerjaya.

Sebagai ibu, Dalafizah mahu perjalanan baharunya menjadi teladan kepada anak-anak bahawa usaha menuntut ilmu tidak terhad pada usia atau peringkat tertentu dalam kehidupan. Beliau turut menggalakkan mereka yang beranggapan sudah terlalu berusia untuk menyambung pengajian agar tidak membiarkan persepsi tersebut menghalang keinginan untuk terus belajar dan memperbaiki diri.

Kisah Dalafizah memperlihatkan bahawa mendahulukan keluarga tidak semestinya bermakna seseorang perlu melupakan impiannya sendiri. Pada usia 52 tahun, beliau kembali melangkah ke universiti untuk merealisasikan cita-cita yang tertangguh, sekali gus membuktikan bahawa peluang untuk belajar dan membina masa depan sentiasa terbuka.

Sumber : UTM NewsHub

Total Views: 6