Advertisement

Pentas Apresiasi Seni Akademia UTM hidupkan legasi Tan Sri Dato’ Ainuddin Wahid

Oleh : Fatin Nabihah Rosli

JOHOR BAHRU, 22 Okt. – Seni dan sastera menjadi wadah menghidupkan legasi kepimpinan Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin Wahid menerusi Pentas Apresiasi Seni Akademia yang menghimpunkan warga universiti bagi menghayati perjuangan serta sumbangan beliau.

Bertemakan Pejuang Yang Degil, program bertajuk Tan Sri Dato’ Ainuddin Wahid: Simfoni Seni & Citra Sastera Siang yang berlangsung di Dewan Banquet, UTM Johor Bahru itu menampilkan persembahan lakonan, deklamasi puisi, nyanyian dan muzik oleh staf akademik, persatuan pesara serta pelajar universiti.

Persembahan lakonan Lahirnya Seorang Pejuang
Penyampaian deklamasi puisi bertajuk ‘Menongkah Arus Zaman’ yang sarat dengan mesej dan penghayatan

Penganjuran program ini bukan sahaja mengimbau sumbangan Naib Canselor pertama UTM dalam meletakkan asas pembangunan universiti, malah mengetengahkan nilai kepimpinan berprinsip dan berintegriti yang wajar dicontohi generasi masa kini.

Selain menghayati sejarah dan warisan universiti, program berkenaan turut menjadi platform menyemarakkan apresiasi seni, mengeratkan hubungan antara warga akademik, pentadbiran dan pesara, serta mengetengahkan bakat dan kreativiti warga pelbagai fakulti dan pusat tanggungjawab.

Program anjuran Pusat Pengambilan dan Kemasukan Pelajar (SRAD), di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), dengan kerjasama Jawatankuasa Anugerah Seni dan Kreativiti UTM ini turut dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar.

Barisan tetamu kehormat yang hadir bagi memeriahkan program

Penganjuran program ini turut menjadi antara usaha menyemarakkan sambutan Bulan Akademia 2026 UTM dengan mengetengahkan seni dan sastera sebagai sebahagian daripada penghayatan budaya ilmu dalam komuniti universiti. Inisiatif ini memperlihatkan bahawa kecemerlangan akademia bukan sahaja berteraskan pencapaian dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, malah turut merangkumi penghargaan terhadap sejarah, nilai kepimpinan, kreativiti serta warisan intelektual universiti.

Diilhamkan daripada buku Ainudin Pejuang Degil Melayu karya Puan Sri Fatini Yaakob, persembahan yang dipentaskan mengetengahkan keteguhan prinsip, keberanian dan semangat perjuangan yang mencerminkan keperibadian tokoh berkenaan. Persembahan tersebut disampaikan dengan penuh semangat dan penghayatan, sekaligus memberikan pengalaman yang bermakna kepada para hadirin.

Pengunjung turut berpeluang meninjau pameran khas Makalah yang memaparkan bahan berkaitan Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin Wahid serta sejarah perkembangan UTM daripada koleksi Perpustakaan UTM yang dipamerkan sepanjang program berlangsung. Pameran ini menjadi wadah untuk warga kampus menelusuri sumbangan tokoh berkenaan serta menghayati perjalanan pembangunan universiti. Selain itu, usaha mengetengahkan bahan dokumentasi sejarah ini penting bagi membantu generasi baharu memahami sejarah, perkembangan dan identiti UTM.

Gabungan seni, sastera dan sejarah menerusi program berkenaan diharap dapat memastikan legasi Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin Wahid terus dihayati, bukan sahaja sebagai sebahagian daripada sejarah UTM, malah sebagai sumber inspirasi kepada generasi akan datang dalam meneruskan perjuangan, memperkukuh nilai kepimpinan dan memartabatkan kecemerlangan akademia. Legasi beliau diharap terus menjadi pedoman dalam membentuk warga universiti yang berintegriti, berwawasan dan berjiwa besar.

Lakonan pendek Suara Ainuddin yang mengetengahkan ketokohan dan pemikiran Tan Sri Dato’ Ainuddin
Persembahan lagu Terbanglah yang diserikan dengan seni silat
Penyampaian syair antara pengisian program

Sumber : UTM NewsHub

Total Views: 1