Oleh : Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi
Kejayaan dalam industri teknologi global tidak pernah membuatkan Kalai Selvan Subramaniam melupakan universiti yang menjadi titik permulaan perjalanan profesionalnya. Alumni Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini kini merupakan antara peneraju industri semikonduktor tempatan yang terus komited berkongsi kepakaran dan menyumbang kembali kepada komuniti.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektronik pada tahun 1997 dari UTM. Berbekalkan asas pendidikan kejuruteraan yang kukuh, beliau memulakan kerjaya bersama Motorola di Petaling Jaya sebelum mengembangkan pengalaman profesionalnya ke Motorola Singapura dan seterusnya ke Amerika Syarikat.
Sepanjang lebih tiga dekad dalam industri elektronik dan semikonduktor, beliau telah memegang pelbagai peranan teknikal serta kepimpinan, termasuk di Intel Corporation. Pengalaman tersebut membentuk kepakaran beliau dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), pembangunan teknologi dan pengurusan organisasi.
Kini, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama Infinecs Systems Sdn. Bhd., sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Pulau Pinang yang menawarkan kepakaran dalam reka bentuk IC dan penyelesaian kejuruteraan semikonduktor.
Selain menerajui syarikat, beliau turut memainkan peranan dalam pembangunan ekosistem semikonduktor negara melalui penglibatan aktif dalam Malaysia IC Design Association (MICDA), termasuk pernah memegang jawatan sebagai pengerusinya.
Di sebalik pencapaian profesionalnya, Kalai Selvan tetap menghargai hubungan dengan universiti dan komuniti yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
Beliau pernah kembali ke Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM, untuk menjayakan sesi perkongsian bersama pelajar. Melalui sesi tersebut, beliau berkongsi pengalaman industri, cabaran membina kerjaya serta peluang yang tersedia dalam sektor elektronik dan semikonduktor.
Beliau juga menyatakan rasa gembira dan kesediaan untuk terus menyumbang kepada komuniti, khususnya melalui perkongsian kepakaran, bimbingan generasi muda dan pembangunan bakat teknologi tempatan.
“Saya sentiasa berbesar hati apabila berpeluang kembali menyumbang kepada komuniti, khususnya UTM yang menjadi sebahagian daripada perjalanan awal kerjaya saya. Saya berharap pengalaman yang dikongsi dapat memberi inspirasi dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk meneroka bidang teknologi dan semikonduktor.”
Semangat beliau untuk terus menyumbang mencerminkan nilai hubungan alumni yang melangkaui kejayaan kerjaya dan pencapaian peribadi. Penglibatan alumni industri seperti Kalai Selvan juga selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya dalam memperkukuh jaringan alumni dan industri, pembangunan bakat serta kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.
Kisah beliau membuktikan bahawa kejayaan seorang alumni bukan sahaja diukur melalui kedudukan dalam industri, tetapi juga melalui kesediaan untuk kembali berkongsi ilmu, membuka peluang dan memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.

Sumber : UTM NewsHub













