Oleh: Seksyen Psikologi dan Kaunseling, Pusat Khidmat Pelajar
KOTA SAMARAHAN, 22 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Seksyen Psikologi dan Kaunseling (PsyCon), Pusat Khidmat Pelajar telah menganjurkan STEPS Summit 2026 pada 21 hingga 22 Oktober 2026 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, UNIMAS. Penganjuran sempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat UNIMAS itu memberikan tumpuan kepada kesejahteraan mental, sokongan psikologi dan daya tahan diri dalam era digital.

Bertemakan “Kaunseling Era Digital: Memacu Kesejahteraan”, program berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta serta penglibatan 20 agensi luar. Penyertaan terdiri daripada mahasiswa, kakitangan UNIMAS, wakil agensi dan media, sekali gus memperlihatkan sokongan pelbagai pihak terhadap usaha meningkatkan literasi kesihatan mental.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA Antarabangsa), Dato’ Dr. Abdul Halim bin Hussin. Antara tetamu yang hadir termasuk Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, Profesor Ir. Ts. Dr. Al-Khalid bin Othman; Pengarah Pusat Khidmat Pelajar, Tuan Haji Zambari bin Haji Baijuri; serta Ketua Pegawai Psikologi PsyCon merangkap Pengerusi STEPS Summit 2026, Puan Saptuyah binti Barahim.
Dalam teks ucapan aluannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, Profesor Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Haji Othman, menekankan bahawa kesejahteraan mental tidak boleh dipisahkan daripada kecemerlangan individu. Beliau turut mengingatkan bahawa kemampuan mengenali emosi, mengurus tekanan, membina hubungan sihat dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan penting dalam membentuk warga universiti yang seimbang serta berdaya tahan.
Beliau turut menegaskan keperluan mengubah tanggapan bahawa mendapatkan bantuan psikologi atau kaunseling merupakan tanda kelemahan. Sebaliknya, sokongan tanpa stigma dan penghakiman perlu menjadi sebahagian daripada budaya kampus agar mahasiswa dan warga universiti lebih yakin mendapatkan bantuan apabila berdepan cabaran.
Dalam teks ucapan perasmiannya, Dato’ Dr. Abdul Halim menjelaskan bahawa tema tahun ini menuntut profesion kaunseling berkembang seiring kemajuan teknologi bagi memperluas akses perkhidmatan dan meningkatkan literasi kesihatan mental. Walau bagaimanapun, penggunaan platform digital perlu disertai perlindungan privasi, kerahsiaan serta amalan yang beretika.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan media sosial secara tidak seimbang, buli siber dan penyebaran maklumat tidak tepat boleh memberikan kesan kepada kesejahteraan pengguna. Menurut beliau, “Teknologi boleh menghubungkan kita dengan lebih pantas, tetapi empati, keprihatinan dan hubungan manusia yang bermakna tetap menjadi asas kepada kesejahteraan.”

Sepanjang dua hari penganjuran, peserta mengikuti sesi interaktif mengenai pembinaan komuniti berdaya tahan di kampus, asas Psychological First Aid dan pengurusan stres. Antara pengisian utama ialah forum “Silent Struggles: Membongkar Realiti Kesihatan Mental dalam Komuniti, Kes dan Isu Sebenar” serta sesi Town Hall “From Burnout to Balance: Membina Kesejahteraan Holistik”.
Program turut menampilkan sesi kesejahteraan kewangan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kuching bertajuk “Start Small, Start Now: Building Financial Well-Being for Your Future”. Selain itu, STEPS Highlight bersama usahawan dan ikon motivasi orang kurang upaya (OKU), Tuan Mohd Sukur Ibrahim, memberikan perkongsian inspirasi kepada peserta.

Majlis perasmian turut menyaksikan penyampaian hadiah Pertandingan Video Pendek yang memberi ruang kepada peserta menyampaikan mesej kesedaran kesihatan mental melalui kreativiti dan medium digital. Inisiatif tersebut menggalakkan penyebaran mesej positif serta penglibatan mahasiswa dalam memperkukuh sokongan rakan sebaya.
Sebagai peluasan manfaat kepada masyarakat, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) STEPS 2026 telah dilaksanakan pada 17 Oktober 2026 di Kampung Jawa Semenggok Lama. Aktiviti yang dijalankan meliputi senamrobik, saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan UNIMAS, gotong-royong, pertandingan mewarna, perkongsian ilmu dan pameran agensi.
Penganjuran ini turut memperlihatkan peranan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam memperkukuh akses kepada sokongan psikososial. Dalam teks ucapan perasmian, Dato’ Dr. Abdul Halim menyeru supaya usaha pencegahan dan pengesanan awal diperkasa, teknologi digunakan secara bertanggungjawab dan budaya sokongan merentas sektor dibangunkan.
Penghargaan turut diberikan kepada seluruh Jawatankuasa Pelaksana, termasuk Encik Lawrence Sengkuai anak Henry, Pegawai Psikologi dan Kaunselor HEPA UNIMAS merangkap Penyelaras Program STEPS sejak 2023. Penganjuran kali keempat ini mencerminkan usaha berterusan PsyCon untuk memperluas penglibatan mahasiswa dan komuniti dalam agenda kesejahteraan psikologi.

Secara keseluruhannya, STEPS Summit 2026 diharapkan dapat mendorong warga kampus dan masyarakat mengamalkan empati, berkongsi pengetahuan serta mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan. Seiring tema “Kaunseling Era Digital: Memacu Kesejahteraan”, program ini menegaskan bahawa penggunaan teknologi perlu bergerak seiring dengan hubungan kemanusiaan yang prihatin dan saling menyokong.
















