Oleh : Ir. Dr. Mohd Badrul Hisyam Ab Manaf
PAUH PUTRA, 26 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh pembangunan bakat teknikal dan kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran Perlis Construction Week (PCW) 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 24 Okt lepas.
Program anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) serta rakan strategik itu menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan kejuruteraan awam, teknologi pembinaan, inovasi dan pembangunan profesional.

Antara pengisian utama ialah Battle of Concrete – Woodball Edition (B-CRETE ’26), sesi perkongsian profesional bersama Institution of Engineers Malaysia (IEM), Santai Alumni, kursus Ground Penetrating Radar (GPR) serta International Stable and Sustain Structure Competition (i3SC) 2026.
Kemuncak PCW 2026 berlangsung pada 24 Okt menerusi sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 Peringkat Negeri Perlis di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Yang Berhormat Tuan Saharuddin bin Sarwan, dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Shahriman bin Abu Bakar; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis, Ir. Norikhwan bin Abu Seman; serta Dekan FKTA, Prof. Madya Ts. Dr. Che Zulzikrami bin Azner Abidin.

Sambutan anjuran bersama FKTA UniMAP dan JKR Negeri Perlis dengan kerjasama JHEP serta Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) UniMAP itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan profesion teknikal, selain memperkenalkan perkembangan teknologi dan peluang kerjaya dalam sektor pembinaan.
Program berkenaan turut menampilkan pertandingan i3SC 2026, perkongsian teknikal oleh pakar industri, pameran syarikat serta aktiviti interaktif yang memberikan pendedahan kepada mahasiswa dan pengunjung mengenai perkembangan semasa industri pembinaan.
Pertandingan i3SC 2026 berjaya menghimpunkan penyertaan daripada lapan universiti awam dan swasta, sebuah politeknik Malaysia, dua kolej vokasional serta sebuah universiti dari Thailand, sekali gus memperluas ruang perkongsian kepakaran dalam bidang reka bentuk struktur, inovasi dan kejuruteraan mampan.
Kumpulan AeroTaper dari Universiti Malaya muncul juara pertandingan itu, diikuti Kumpulan FORMAX PSIS dari Politeknik Sultan Idris Shah di tempat kedua, manakala Kumpulan APEX dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menduduki tempat ketiga.
Penganjuran pertandingan berkenaan bukan sahaja menguji keupayaan teknikal peserta, malah menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti dan kerjasama dalam menghasilkan penyelesaian kejuruteraan yang inovatif.

PCW 2026 turut menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik, meningkatkan kemahiran teknikal serta membina jaringan profesional menerusi interaksi dengan pakar industri, agensi kerajaan dan alumni.
Inisiatif itu selari dengan aspirasi UniMAP untuk melahirkan graduan yang memiliki kemahiran teknikal kukuh, berfikiran inovatif dan berdaya saing, selain bersedia memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang.
Kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan pemain industri menerusi program berkenaan juga diharap dapat terus memperkukuh ekosistem pendidikan kejuruteraan serta melahirkan tenaga profesional teknikal yang kompeten bagi menyokong pembangunan sektor pembinaan negara.















