Oleh : Wan Saniah bt Wan Yahya
PAUH PUTRA, 26 Oktober 2026 – Seramai 60 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyertai PARADIGMA 2026: Kem Kepimpinan Mahasiswa Antara Universiti bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan, membina ketahanan emosi serta melahirkan pemimpin pelapis yang berintegriti, berdaya saing dan berupaya memacu perubahan menerusi kolaborasi rentas institusi.

Program bertemakan “Membina Pemimpin, Mencipta Perubahan” itu merupakan anjuran bersama Pusat Kaunseling (PUSKA) UniMAP, Unit Psikologi dan Kaunseling UiTM Cawangan Perlis serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis.
Berlangsung selama dua hari, program berkenaan menghimpunkan 30 peserta daripada UniMAP dan 30 peserta daripada UiTM Cawangan Perlis dengan pelaksanaannya diadakan secara bergilir di kedua-dua institusi, bermula di UiTM Cawangan Perlis sebelum diteruskan di UniMAP.
Pengisian program memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan kendiri melalui pelbagai aktiviti interaktif, latihan dalam kumpulan (LDK) dan sesi terapi alam yang dirangka bagi meningkatkan kemahiran komunikasi berkesan, penyelesaian masalah, pengurusan krisis serta ketahanan emosi mahasiswa.
Selain membina keyakinan diri dan kematangan dalam membuat keputusan, pendekatan tersebut turut memberi peluang kepada peserta memahami kepentingan kerjasama, kepimpinan berpasukan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran organisasi.

Program itu turut mengetengahkan Pertandingan Projek Inovasi PARADIGMA sebagai platform kepada mahasiswa untuk menjana idea kreatif, berfikir secara kritis dan mengemukakan penyelesaian praktikal yang berpotensi membawa impak positif kepada ekosistem universiti.
Penglibatan mahasiswa daripada dua institusi berbeza itu turut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pertukaran pandangan serta pembinaan jaringan persahabatan dan kerjasama strategik rentas kampus.
Pengarah PUSKA UniMAP, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Fatullah Ghazli berkata, program kolaboratif itu merupakan platform penting dalam mempersiapkan mahasiswa sebagai pemimpin yang bukan sahaja mempunyai kecerdasan intelektual, malah matang dalam mengurus organisasi dan berupaya mendepani cabaran kepimpinan.
“Kepimpinan masa kini memerlukan keupayaan untuk bekerjasama melangkaui sempadan institusi serta kepekaan tinggi terhadap kesihatan mental dan emosi. Menerusi PARADIGMA 2026, kita mahu melahirkan mahasiswa yang berintegriti, berani memacu perubahan dan sentiasa bersedia memimpin dengan empati.”
Beliau berkata, pembangunan kepimpinan mahasiswa perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi perhatian kepada keseimbangan antara kemahiran membuat keputusan, keupayaan bekerja dalam pasukan serta kesedaran terhadap kesejahteraan diri dan orang lain.
Menurutnya, pengalaman berinteraksi dan bekerjasama dalam persekitaran rentas institusi turut membantu mahasiswa membina perspektif yang lebih luas, meningkatkan keyakinan diri serta mengembangkan potensi kepimpinan masing-masing.
Penganjuran PARADIGMA 2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan pemimpin mahasiswa yang inovatif, berdaya saing dan berintegriti, sekali gus menyokong usaha berterusan UniMAP dan UiTM Cawangan Perlis dalam melahirkan graduan holistik yang seimbang dari aspek intelektual, emosi dan sosial.















