Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu
Paya Besar, 26 Oktober – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Sesi 2026/2027 yang berlangsung hari ini mencatatkan seramai 9,583 mahasiswa keluar mengundi, bersamaan 63.30 peratus daripada keseluruhan 15,140 pengundi berdaftar.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 44 calon diluluskan bagi mengisi 26 kerusi MPP, dengan 43 calon bersaing merebut 25 kerusi, manakala satu kerusi di Pusat Sains Matematik (PSM) dimenangi tanpa bertanding.
Jumlah pengundi pada tahun ini turut menunjukkan peningkatan sebanyak 1,036 mahasiswa atau 12.12 peratus berbanding 8,547 pengundi pada tahun 2025. Peningkatan ini mencerminkan perkembangan positif dalam penyertaan mahasiswa serta kesedaran terhadap kepentingan proses demokrasi di peringkat kampus.

Dari segi peratusan keluar mengundi, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 76.23 peratus, diikuti Pusat Sains Matematik (PSM) dengan 74.71 peratus dan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) sebanyak 68.77 peratus.
Pencapaian ini memperlihatkan komitmen mahasiswa dalam melaksanakan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan yang bakal mewakili suara, aspirasi dan kepentingan warga pelajar. Penglibatan aktif ini juga penting dalam membentuk budaya kepimpinan yang matang serta menggalakkan mahasiswa menghargai amalan demokrasi.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada Suruhanjaya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP) atas komitmen dan usaha dalam menyelaras serta memudah cara keseluruhan proses pemilihan sehingga berjalan dengan lancar dan teratur.

Tahniah turut diucapkan kepada 26 calon yang berjaya dipilih sebagai wakil mahasiswa bagi sesi 2026/2027. Kepercayaan yang diberikan oleh para pengundi merupakan satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh integriti, kematangan dan rasa tanggungjawab demi kepentingan seluruh mahasiswa UMPSA.
Penghargaan juga diberikan kepada semua calon yang telah menawarkan diri dan mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini. Penyertaan mereka bukan sahaja mencerminkan kesediaan untuk berkhidmat, malah memperlihatkan semangat persaingan yang sihat serta kematangan dalam mengamalkan demokrasi kampus.
Diharapkan momentum penyertaan mahasiswa ini akan terus diperkukuh sebagai pemangkin kepada pembudayaan demokrasi yang sihat dan inklusif di UMPSA. Semoga barisan MPP yang terpilih dapat menjalankan amanah dengan cemerlang, memperjuangkan kebajikan mahasiswa serta menjadi penghubung yang berkesan antara pelajar dengan pihak universiti.














