Advertisement

88 pemimpin pelajar UTM diperkasa adab dan jati diri kenegaraan menjelang 3M 2026

Oleh : Dzulhelmi Mohd Razali

LANGKAWI, 27 Sept. – Seramai 88 pemimpin pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipersiapkan sebagai barisan hadapan universiti menjelang Minggu Mesra Mahasiswa (3M) 2026 menerusi Kursus Kepimpinan Krew 3M yang memberi penekanan kepada adab, kepimpinan, nilai jati diri dan semangat kenegaraan.

Sebagai antara individu terawal yang bakal menyambut serta membantu ribuan pelajar baharu dan keluarga mereka pada 4 Oktober 2026, krew 3M menggalas tanggungjawab penting dalam memastikan urusan ketibaan dan perjalanan program berlangsung dengan teratur.

Sesi pembukaan Kursus Kenegaraan dan simbolik penyerahan peserta UTM kepada AKM

Peranan mereka bukan sekadar mengurus perjalanan program, malah menjadi antara wajah pertama UTM yang akan ditemui pelajar baharu dan keluarga mereka. Justeru, persediaan krew turut menekankan aspek adab menerima tetamu, kesantunan berbicara, kepekaan dalam membantu serta budi pekerti agar setiap urusan dilaksanakan dengan cekap dan penuh ihsan.

Kursus yang berlangsung di Pusat Latihan Kenegaraan (PLK) Langkawi itu dilaksanakan dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang menaja sepenuhnya program berkenaan. Pengisian kursus dirangka khusus bagi memperkukuh nilai jati diri kenegaraan dalam kalangan pemimpin pelajar, termasuk semangat cintakan negara, rasa tanggungjawab serta kesedaran terhadap peranan mahasiswa dalam pembangunan universiti, masyarakat dan negara.

Pegawai Khas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Hasnul Fairuz Hushin Amri, menyampaikan taklimat kepada peserta

Penekanan terhadap adab dan nilai jati diri kenegaraan sebagai asas kepimpinan mahasiswa turut menjadi intipati amanat Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang hadir merasmikan program dan menyuntik semangat kepada para peserta.

“Pemimpin mahasiswa perlu memiliki nilai jati diri kenegaraan yang kukuh, di samping menjunjung tinggi adab dalam setiap tindakan dan perkhidmatan. Adab menerima tetamu mestilah manis bicara, santun tutur kata dan pemurah layanan,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan bahawa pemimpin pelajar bukan sekadar perlu cekap melaksanakan amanah, malah perlu memahami tanggungjawab sebagai generasi muda dalam membawa nilai kenegaraan, semangat cintakan negara dan keperibadian yang baik. Nilai tersebut penting kerana krew 3M merupakan antara wajah pertama UTM yang akan ditemui oleh pelajar baharu dan keluarga mereka.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan amanat kepada barisan pemimpin pelajar

Selaras dengan kedudukan UTM sebagai sebuah universiti terkemuka dunia, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, turut menekankan aspirasi agar mahasiswa UTM memiliki keterampilan, adab dan kemahiran yang setanding dengan mahasiswa di universiti terkemuka dunia. Pembangunan mahasiswa bukan sahaja perlu memberi perhatian kepada kecemerlangan akademik, malah turut membentuk keperibadian, keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan keupayaan berinteraksi pada tahap global.

Amanat tersebut membawa mesej yang jelas bahawa kecekapan, adab dan jati diri kenegaraan perlu bergerak seiring. Dalam kesibukan mengurus ketibaan ribuan mahasiswa baharu, setiap sapaan, tutur kata, tindakan dan bantuan yang diberikan akan mencerminkan nilai serta keperibadian UTM.

Prof. Dr. Mohd Shahrizal turut bersama-sama memberikan sokongan dan semangat kepada barisan pemimpin pelajar dalam mempersiapkan diri menggalas amanah sepanjang 3M 2026.

Peserta mengikuti aktiviti latihan dalam kumpulan sepanjang Kursus Kepimpinan Krew 3M

Kehadiran kepimpinan tertinggi universiti itu turut mencerminkan sokongan terhadap komitmen pemimpin pelajar yang meluangkan masa dan tenaga bagi membantu memastikan 3M berlangsung dengan teratur, selamat dan mesra, sekali gus memberikan pengalaman yang baik kepada pelajar baharu serta keluarga mereka.

Selepas menjalani latihan, kesemua 88 pemimpin pelajar berkenaan kembali ke kampus dengan tanggungjawab untuk diterjemahkan melalui pelaksanaan 3M 2026. Mereka bukan sahaja berperanan sebagai penggerak program, tetapi turut membawa nilai adab, jati diri kenegaraan dan kepimpinan dalam setiap khidmat yang diberikan.

Barisan pemimpin pelajar UTM bergambar bersama di lokasi simbolik Langkawi

Melalui latihan dan penghayatan nilai yang diterapkan sepanjang kursus, barisan krew 3M diharap dapat melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, selain menjadikan pengalaman menyantuni pelajar baharu sebagai sebahagian daripada proses membentuk kepimpinan mahasiswa. Pendekatan tersebut selaras dengan usaha UTM melahirkan pemimpin pelajar yang bukan sahaja cekap mengurus program, tetapi turut mempunyai jati diri, beradab dan peka terhadap keperluan komuniti universiti.

Sumber: UTM NewsHub

Total Views: 13