Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu
Sri Manjung, 26 Oktober – Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berpeluang mendekati masyarakat setempat menerusi penglibatan dalam Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 yang berlangsung di daerah Manjung, Perak, dari 24 hingga 26 Oktober 2026.
Penyertaan mahasiswa itu membuka ruang untuk mereka mengenali kehidupan masyarakat kampung, memahami adat resam tempatan serta menghayati keunikan seni dan budaya menerusi interaksi secara langsung bersama komuniti setempat.
Seramai 30 pelajar UMPSA menyertai program tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Pasir Panjang Laut bagi merasai pengalaman kehidupan masyarakat setempat, di samping mempelajari warisan budaya dan menikmati sajian tradisional yang menjadi identiti masyarakat di kawasan berkenaan.

Dalam usaha memperkenalkan kekayaan budaya negeri Pahang, mahasiswa UMPSA turut mempersembahkan kesenian Gendang Pahang dan Seni Tari Silat Lenggang Mak Janda. Mereka juga memperkenalkan makanan tradisional negeri itu, termasuk Sambal Hitam Pahang, kepada masyarakat dan pengunjung festival.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias, hadir menyaksikan kemeriahan acara kemuncak PULARA 2026 yang berlangsung di Dataran MADANI, Seri Manjung, malam tadi. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penduduk setempat yang hadir bersama keluarga.
Menurut beliau, PULARA merupakan platform penting untuk memperkenalkan seni dan budaya sebagai medium yang mampu merapatkan hubungan masyarakat berbilang bangsa, bahasa dan negara. Penglibatan mahasiswa dalam program berkenaan turut memberikan pengalaman bermakna dalam membina kefahaman silang budaya serta memupuk semangat kemasyarakatan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan PULARA 2026, khususnya penggiat seni, peserta antarabangsa, mahasiswa, keluarga angkat, penduduk kampung, sukarelawan dan seluruh komuniti Manjung yang memberikan sokongan sepanjang penganjuran festival itu.
Penganjuran PULARA 2026 selama tiga hari dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkumi 17 program utama dan 20 program turun ke kampung. Antara pengisian yang disediakan termasuk persembahan puisi dan lagu rakyat, Festival Sajian dan Titian Budaya, Seminar Peradaban Rumpun Melayu Antarabangsa (RUMIA), aktiviti kesukarelawanan serta program komuniti MADANI yang menghimpunkan budayawan, sasterawan dan artis tempatan serta antarabangsa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan; serta Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff. Penglibatan UMPSA dalam festival ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat, di samping memperluas pengenalan seni dan warisan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Kredot Foto : Encik Khairu Aidilnishah Rizan bin Jalil













