Advertisement

30 PELAJAR PUSAT PENGAJIAN PENGKOMPUTERAN (SOC) TEROKA EKOSISTEM TEKNOLOGI DAN INOVASI MENERUSI KL20 @ PENANG 2026

PULAU PINANG, 24 September 2026 – Seramai 30 pelajar Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang menyertai program KL20 @ Penang 2026 Silicon Surge yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Pulau Pinang, sekali gus memberi pendedahan kepada pelajar terhadap perkembangan teknologi, inovasi serta keperluan industri masa kini.

Penyertaan tersebut turut membuka ruang kepada pelajar UUM untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan peserta daripada institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), INTI International College, Universiti Sains Malaysia (USM), politeknik dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Sepanjang program, para pelajar dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada peserta daripada pelbagai institusi bagi menggalakkan perkongsian idea, pembinaan rangkaian serta kerjasama rentas universiti.

Antara pengisian yang disertai ialah Talent Podcast: Beyond the Degree, iaitu sesi perbincangan secara santai yang membincangkan kemahiran, pemikiran dan pengalaman yang diperlukan oleh golongan muda untuk berkembang dalam ekonomi teknologi masa hadapan. Sesi ini turut menyentuh bagaimana kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu sedang membentuk semula landskap kerjaya, selain membincangkan kemahiran yang dinilai oleh majikan di luar kelayakan akademik. Perkongsian tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk memahami persediaan yang diperlukan bagi membina kerjaya sebagai generasi baharu jurutera, inovator dan pemimpin teknologi, khususnya dalam sektor semikonduktor dan ekonomi digital di Malaysia.

Selain itu, pelajar turut menyertai Beanbag Chats with Engineers & Tech Professionals, iaitu sesi interaksi dalam kumpulan kecil yang menghubungkan pelajar dengan jurutera, profesional teknologi dan pengasas syarikat pemula daripada pelbagai rantaian nilai industri semikonduktor. Sesi ini memberi peluang kepada peserta mendapatkan gambaran secara langsung mengenai projek sebenar, skop tugas harian serta pengalaman perjalanan kerjaya dalam industri. Perkongsian tersebut turut memperkenalkan pelajar kepada pelbagai laluan kerjaya dalam bidang seperti reka bentuk cip, pembuatan, pembungkusan termaju, ujian dan pengukuran, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan perisian serta syarikat pemula dalam bidang semikonduktor, sekali gus membantu mereka memahami peluang dan keperluan industri teknologi dengan lebih dekat.

Para pelajar UUM juga mengambil bahagian dalam Innovation Sprint (Team Challenge + Pitch) yang menguji keupayaan peserta dalam menghasilkan idea inovatif secara berkumpulan, menyelesaikan masalah serta membentangkan penyelesaian kepada pihak penilai. Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar terhadap ekosistem teknologi dan inovasi, malah turut membantu memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan pembentangan yang penting dalam membentuk graduan berdaya saing.

Menurut Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras Program School of Hard Knocks (SoHK), penyertaan pelajar dalam KL20 merupakan satu peluang berharga untuk mereka mendapatkan pendedahan secara langsung kepada ekosistem teknologi dan inovasi serta membina jaringan bersama pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perkembangan teknologi dan peluang kerjaya dalam industri, malah turut menggalakkan mereka untuk berani berkongsi idea, bekerjasama dalam pasukan yang terdiri daripada latar belakang berbeza serta mengaplikasikan kemahiran menyelesaikan masalah dalam situasi sebenar,” katanya.

Beliau turut berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang program dapat membantu pelajar membina keyakinan diri, memperluas jaringan profesional dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang relevan bagi menghadapi alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

Penglibatan pelajar SOC dalam KL20 ini juga selari dengan usaha universiti untuk memperluas pendedahan industri dan membangunkan bakat digital yang mampu memenuhi keperluan serta tuntutan dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal

Total Views: 36