oleh : Netty Muhalizza binti Mohd Fadzil
MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima kunjungan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, bersama barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Program Ziarah Kasih KPT @UTeM.
Kunjungan tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan KPT dan UTeM terhadap kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa, Nur Syasya Aisy binti Mohd Suhaimi yang menerima sokongan melalui Biasiswa Anak Emas daripada Yayasan Tun Canselor UTeM, sumbangan tunai, sebuah komputer riba serta bantuan Foodbank bagi membantu keperluan harian dan kelangsungan pengajiannya.

Turut menyumbang kepada usaha tersebut ialah Yayasan Perkasa Siswa (YPS) KPT menerusi sumbangan tunai tambahan bagi meringankan keperluan Nur Syasya Aisy serta memastikan beliau dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik.
Dalam kunjungan berkenaan, YB Menteri Pendidikan Tinggi turut menitipkan kata-kata semangat agar Nur Syasya Aisy terus cekal, yakin dan cemerlang dalam pengajian demi masa depan yang gemilang.

Inisiatif ini selaras dengan hasrat KPT untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terus menjadi keutamaan, di samping membuka ruang serta memberikan sokongan kepada setiap pelajar untuk kekal berdaya tahan, cemerlang dalam pengajian dan melangkah yakin menuju masa depan yang gemilang.

Kehadiran turut disertai Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha KPT; YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor UTeM; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTeM, wakil Yayasan Perkasa Siswa KPT serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM.
UTeM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, kepimpinan KPT, Yayasan Perkasa Siswa KPT dan Yayasan Tun Canselor UTeM atas keprihatinan serta sokongan yang diberikan. Inisiatif ini menjadi bukti bahawa kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang untuk mencapai kejayaan.












