Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan Bengkel Training of Trainers (T.O.T) Persediaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pengajaran Kokurikulum Siri 2026/2027 yang berlangsung selama dua hari, pada 11 hingga 12 September 2026 bertempat di UniCamp Merang, Setiu.
Bengkel ini dilaksanakan bagi memperkukuh persediaan para peserta dalam aspek pengurusan serta pelaksanaan pengajaran kokurikulum, di samping memberikan pengalaman praktikal yang dapat meningkatkan kemahiran insaniah dan keupayaan bekerja secara berpasukan.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kemahiran Insaniah PPHP, Encik Hasbullah bin Ismail.
Pada hari pertama, para peserta turut menyertai aktiviti kesukarelawanan di UniCamp Merang yang melibatkan kerja-kerja pembersihan dan penyusunan kemudahan stor. Aktiviti tersebut merangkumi pembersihan Stor Life Jacket, Stor Kayak dan Stor Khemah.
Aktiviti kesukarelawanan ini memberi peluang kepada peserta untuk berganding bahu dalam memastikan kemudahan dan peralatan di UniCamp Merang berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur, selain memupuk nilai kerjasama, tanggungjawab serta semangat kesukarelawanan.
Pada hari kedua, para peserta mengikuti Program Komuniti – Keusahawanan Kampung Merang dengan penglibatan secara praktikal di beberapa kedai keropok lekor sekitar Merang, Setiu.
Menerusi program tersebut, peserta terlibat secara langsung dalam keseluruhan proses penghasilan produk keropok lekor. Antara aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti menyiang ikan, pemprosesan keropok lekor, menjemur keropok keping serta proses pembungkusan produk.
Penglibatan secara hands-on ini memberikan pengalaman kepada peserta untuk memahami proses penghasilan keropok lekor daripada peringkat penyediaan bahan mentah sehingga produk siap untuk dipasarkan. Pada masa yang sama, peserta turut berpeluang mempelajari asas pengurusan dan operasi perniagaan daripada pengusaha keropok lekor tempatan.
PPHP merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Kedai Keropok Wawa, Kedai Keropok Hasemah, Kedai Keropok Iman dan Kedai Keropok Mengabang Tapah atas kerjasama serta kesudian menerima para peserta dan memberikan tunjuk ajar sepanjang aktiviti keusahawanan tersebut.
Program kemudiannya diakhiri dengan sesi rumusan, Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil, sebelum para peserta bertolak pulang.
Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen PPHP dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang bukan sahaja berfokus kepada aspek pengajaran kokurikulum, malah turut mengintegrasikan elemen kesukarelawanan, kemahiran insaniah, kerja berpasukan dan keusahawanan melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti setempat.


















