Majlis Perasmian Penutup Minggu Mesra Siswa (MMS) & Ikrar Pelajar bagi Kemasukan Diploma dan Sarjana Muda Sesi 2026/2027 telah berlangsung di UniSZA Kampus Besut dengan menghimpunkan mahasiswa baharu bersama barisan pengurusan universiti.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff @ Che Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, mewakili Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam. Seramai 731 mahasiswa Diploma dan Sarjana Muda telah mendaftar di Kampus Besut bagi sesi kemasukan kali ini.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBrs. Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak; Pendaftar Universiti, Encik Muzafar bin Mohd Din; Ketua Pustakawan, Puan Norulhuda binti Makhtar; Pengarah Kampus Besut, Prof. Madya Dr. Azman bin Azid; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany; serta ketua-ketua Pusat Tanggungjawab dan pegawai kanan universiti.
Dalam amanatnya, YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff @ Che Abdullah turut menekankan semangat “DEMI UniSZA” yang membawa nilai Disiplin, Eksplorasi, Muafakat dan Integriti untuk dihayati oleh setiap mahasiswa sepanjang bergelar warga universiti. Nilai-nilai ini menjadi panduan dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berdisiplin, berani meneroka peluang dan pengalaman baharu, mengutamakan semangat kebersamaan serta sentiasa menjunjung tinggi integriti dalam setiap tindakan.
Selaras dengan falsafah Flexible Education with Soul, mahasiswa turut diingatkan bahawa pendidikan di UniSZA bukan sekadar berteraskan ilmu pengetahuan dan kemahiran, malah merangkumi pembinaan nilai, akhlak dan sahsiah dalam usaha melahirkan Future Caliph UniSZA yang cemerlang ilmu serta berintegriti tinggi.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj MMS Kampus Besut, persembahan Dikir Barat, bacaan ikrar serta penyerahan Aku Janji oleh mahasiswa baharu sebelum diakhiri dengan nyanyian Lagu Universiti Sultan Zainal Abidin dan Lagu Warisan sempena Hari Malaysia.
Semoga Minggu Mesra Siswa menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang penuh makna buat seluruh mahasiswa baharu dalam membina jati diri, memperkaya pengalaman dan mencipta kecemerlangan sepanjang berada di bumi UniSZA.
Selamat datang ke UniSZA dan selamat memulakan perjalanan sebagai mahasiswa!
Demi UniSZA!





















