SINTOK, 16 September 2026 – Semangat patriotisme dan perpaduan mewarnai kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila 5,000 Jalur Gemilang berkibar serentak menerusi Program Sederap Perpaduan Hari Malaysia Bersama Naib Canselor, bersempena sambutan Hari Malaysia 2026.
Program yang berlangsung dalam rangka Minggu Suaikenal Pelajar Baharu Ambilan September Sesi 2026/2027 (Semester A261) itu menghimpunkan ribuan pelajar baharu UUM dalam suasana penuh semangat kebersamaan dan cintakan negara.

Lebih bermakna, program tersebut turut disertai pelajar antarabangsa UUM dari pelbagai negara, sekali gus mencerminkan keharmonian dan kepelbagaian komuniti kampus serta memperkenalkan semangat kebersamaan Malaysia kepada warga antarabangsa.
Kibaran 5,000 Jalur Gemilang bersama-sama warga universiti mencipta panorama penuh simbolik di kampus UUM, sekali gus menyampaikan mesej bahawa mahasiswa bukan sahaja hadir ke universiti untuk menimba ilmu, malah memainkan peranan penting dalam memelihara perpaduan dan keharmonian.
Program kemudiannya disusuli dengan aktiviti brisk walk sejauh tiga kilometer (3 km) bersama Naib Canselor dan warga universiti, yang menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam suasana santai dan sihat.


Penganjuran program ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Malaysia, malah menjadi antara pengalaman awal yang bermakna buat pelajar baharu dalam memulakan perjalanan mereka sebagai warga UUM.
Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati.
Berita dan gambar oleh: Muhammad Hafizal Faiz bin Suhaime












