Advertisement

WBLMS Fakulti Komputeran UTM raih emas di IIDEL 2026

Oleh : Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar

KUALA LUMPUR, 9 Okt. – Inovasi WBLMS: Human-Centred Cybergogy yang dibangunkan oleh pasukan Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), meraih pingat emas dalam pertandingan Invention, Innovation & Design on E-Learning (IIDEL) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya pada 8 dan 9 Oktober 2026.

Pertandingan itu diadakan bersempena UM Mastery in Innovative Teaching Colloquium x International University Carnival on E-Learning (UM MINT x IUCEL 2026) yang bertemakan “Redefining Cybergogy Beyond Algorithms”. Program tersebut mengetengahkan inovasi pembelajaran elektronik (e-pembelajaran) dan pendekatan pendidikan yang mengutamakan keperluan manusia.

Penyertaan dalam IIDEL 2026 turut membuka ruang kepada pendidik, penyelidik dan institusi pendidikan tinggi untuk mempersembahkan penyelesaian digital yang berpotensi meningkatkan kualiti, keterangkuman dan keberkesanan pengalaman pembelajaran.

Pasukan pembangunan projek ini diketuai oleh Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, bersama-sama Dr. Aryati Bakri, Dr. Nur Eliyah @ Wong Yee Leng, Dr. Izyan Izzati Kamsani, Dr. Noorfa Haszlina Mustaffa dan Dr. Seah Choon Sen. Selain pencapaian di IIDEL 2026, projek WBLMS turut meraih tempat ketiga dalam Anugerah Inovasi Perkhidmatan (AIP) sempena Citra Karisma 2026, sekali gus menambah pengiktirafan terhadap usaha pembangunan sistem tersebut.

Paparan sistem WBLMS yang dibangunkan oleh pasukan Fakulti Komputeran UTM

WBLMS, singkatan bagi Work-Based Learning Management System, dibangunkan untuk menangani cabaran penyelarasan pembelajaran berasaskan pekerjaan yang melibatkan pelajar, penyelia universiti, penyelia industri, pemeriksa dan penyelaras program daripada organisasi berbeza.

Sistem ini digunakan dalam pelaksanaan program UTM 2u2i bagi menyokong pengurusan pembelajaran berasaskan pekerjaan secara lebih berpusat, telus dan teratur. Platform tersebut mengintegrasikan pengurusan penempatan pelajar, penyeliaan, pemantauan kemajuan, penyerahan projek, penilaian dinamik, maklum balas dan penggabungan hasil pembelajaran.

Melalui sistem berasaskan peranan, setiap pihak dapat mengakses fungsi dan maklumat yang berkaitan dengan tanggungjawab masing-masing. Penyepaduan ini turut membantu mengurangkan kebergantungan pada aplikasi yang berasingan serta menyediakan rekod bersama bagi menyokong penyelarasan antara pihak universiti dengan industri.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, merasmikan program UM MINT x IUCEL 2026

Dari segi reka bentuk, WBLMS dibangunkan berasaskan tiga dimensi cybergogy, iaitu kognitif, emotif dan sosial, yang memberi perhatian kepada aspek pemikiran, emosi dan interaksi sosial dalam pembelajaran digital.

Sistem ini turut mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) menerusi pendekatan human-in-the-loop, iaitu cadangan yang dijana AI masih tertakluk pada semakan, pengesahan atau pindaan oleh penyelaras. Pendekatan ini membolehkan teknologi membantu proses membuat keputusan tanpa mengetepikan pertimbangan akademik dan profesional manusia.

Dari segi pelaksanaan, WBLMS menyokong pembelajaran 55 pelajar yang ditempatkan di 22 syarikat hos sepanjang sesi 2025/2026. Dalam tempoh tersebut, sistem merekodkan 443 penyerahan, 498 penilaian merentas pelbagai peranan dan 5,638 skor kriteria.

Dari sudut pengurusan pembelajaran, WBLMS membolehkan pelajar menyemak keperluan pembelajaran, tarikh akhir dan status penilaian dengan lebih jelas. Penilai pula boleh menggunakan rubrik khusus kursus bagi menyokong konsistensi penilaian, manakala penyelaras memperoleh gambaran menyeluruh tentang kemajuan pelajar untuk mengenal pasti keperluan tindakan susulan berdasarkan rekod yang tersedia.

Pencapaian pingat emas IIDEL 2026 memperlihatkan usaha Fakulti Komputeran UTM dalam membangunkan inovasi pendidikan digital yang berasaskan keperluan pengguna. Pengiktirafan tersebut turut membuka peluang untuk WBLMS dikembangkan sebagai penyelesaian pengurusan pembelajaran berasaskan pekerjaan bagi institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan profesional.

Sumber: UTM NewsHub

Total Views: 4