Oleh : Nur Masitoh Islamiah Mustaffa Kamal, Sekolah Pengajian Prasiswazah (USG) Universiti Teknologi Malaysia
JOHOR BAHRU, 20 Okt. – Seramai 20 pelajar dan dua pensyarah pengiring dari Universitas PGRI Semarang (UPGRIS), Indonesia, menyertai program International Experiential Learning 2026 anjuran Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober 2026.
Program ini memberi peluang kepada delegasi UPGRIS untuk meneroka budaya tempatan, berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat serta menyertai aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman yang merangkumi aspek kelestarian alam sekitar dan warisan budaya.
Ketibaan delegasi di UTM disambut menerusi sesi ramah mesra bersama Dekan UGS, Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat. Sesi tersebut menjadi permulaan kepada rangkaian aktiviti yang memberikan pendedahan kepada peserta tentang kehidupan kampus, amalan kelestarian alam sekitar dan kepelbagaian budaya masyarakat tempatan.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah demonstrasi penghasilan mudball oleh BioViterra Enterprise. Dalam aktiviti tersebut, peserta diperkenalkan kepada bahan campuran seperti sekam padi, Bokashi dan sabut kelapa yang diproses menjadi bebola mudball. Sebanyak 200 biji mudball kemudian dibaling ke dalam kolam tadahan air sebagai sebahagian daripada aktiviti berkenaan. Pendedahan ini membolehkan peserta mengenali pendekatan yang berkaitan dengan usaha menjaga kelestarian alam sekitar melalui pengalaman secara langsung.

Selain aspek kelestarian alam sekitar, program ini turut mengetengahkan pembelajaran silang budaya menerusi kunjungan delegasi UPGRIS ke Kampung Pasir Salam, Ulu Tiram, bagi berinteraksi dengan komuniti Orang Seletar. Aktiviti tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Abdullah Ighfir Jaharudin, Ketua Kampung Air Putih, Tok Batin Laile Lie dan Taslim Nani.
Dalam sesi berkenaan, komuniti Orang Seletar mempersembahkan tarian tradisional masyarakat mereka, manakala pelajar UPGRIS mempersembahkan Tari Goyang Semarang dari Indonesia. Kedua-dua persembahan itu menjadi wadah perkongsian budaya yang memperkenalkan warisan tradisional Malaysia dan Indonesia, di samping menggalakkan interaksi antara peserta dengan komuniti setempat.

Delegasi UPGRIS turut berpeluang mengenali kraf tangan tradisional masyarakat Orang Seletar, termasuk penghasilan tempok yang diperkenalkan oleh Mak Batin. Melalui perkongsian dan aktiviti bersama, para pelajar dapat mempelajari kemahiran tradisional serta memahami nilai budaya yang diwarisi dan diamalkan dalam kehidupan komuniti tersebut.
Pengalaman ini turut memberikan ruang kepada peserta untuk memahami warisan tempatan bukan sahaja melalui penerangan, malah menerusi interaksi secara langsung dengan anggota komuniti. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sedemikian membantu memperluas pemahaman peserta terhadap kepelbagaian budaya dan amalan tradisional masyarakat setempat.


Pada hari terakhir program, delegasi UPGRIS menyertai Terra Vibes: Walk into Mini Nature, anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) melalui UGS bersempena dengan Bulan Akademia UTM 2026.
Menerusi program tersebut, pelajar UPGRIS menyertai aktiviti penghasilan terarium, iaitu landskap mini yang menggabungkan tumbuhan dengan elemen semula jadi di dalam bekas. Aktiviti ini menggabungkan kreativiti dengan pembelajaran praktikal, selain memberikan pendedahan kepada peserta tentang penyusunan elemen semula jadi dalam ruang yang terhad.
Penghasilan terarium turut berkaitan dengan kursus Vivarium, salah satu Kursus Kokurikulum Berkredit yang ditawarkan oleh UGS. Pada akhir aktiviti, pelajar UPGRIS membentangkan hasil penghasilan terarium masing-masing kepada pihak juri.

Secara keseluruhannya, International Experiential Learning 2026 menyediakan ruang pembelajaran yang menggabungkan pendedahan kepada kelestarian alam sekitar, penghayatan warisan budaya dan interaksi bersama komuniti. Pelaksanaan aktiviti tersebut turut memperlihatkan potensi pembelajaran berasaskan pengalaman dalam memperluas perspektif pelajar terhadap kepelbagaian budaya dan amalan masyarakat setempat.
Melalui penyertaan dalam program ini, delegasi UPGRIS berpeluang berkongsi pengetahuan serta nilai budaya antara masyarakat Malaysia dan Indonesia. Pengalaman tersebut sekali gus memperkayakan pembelajaran pelajar melalui interaksi secara langsung di luar bilik kuliah.
Sumber : UTM NewsHub












