Advertisement

UMT Raih Tempat Kelima Cabaran Ceritera Muzikal MADANI FOI 2026

PUTRAJAYA, 17 Nov – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih tempat kelima dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada Cabaran Ceritera Muzikal MADANI sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,700.

Pencapaian itu diraih menerusi pasukan Angkatan Anak Seni (AKASIA) UMT yang mengetengahkan seni persembahan melalui gabungan elemen lakonan, muzik, nyanyian, tarian, puisi dan multimedia.

Naib Canselor UMT Profesor Dr Suriyani binti Muhamad berkata kejayaan itu membuktikan mahasiswa universiti berkenaan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut berbakat, kreatif dan berani menonjolkan potensi diri melalui seni serta persembahan kreatif.

“Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada para pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) atas kejayaan meraih Tempat Kelima dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi Cabaran Ceritera Muzikal MADANI sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UMT bukan sahaja mempunyai kecemerlangan dalam bidang akademik, malah turut berbakat, kreatif dan berani menonjolkan potensi diri melalui seni serta persembahan kreatif,” katanya.

Beliau berharap pencapaian itu menjadi pembakar semangat kepada seluruh mahasiswa UMT untuk terus meneroka peluang, mencabar kemampuan diri dan menyerlahkan bakat dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata pencapaian itu mencerminkan potensi mahasiswa dalam mengembangkan bakat dan kreativiti melalui penglibatan dalam bidang seni dan persembahan.

Beliau berkata penyertaan dalam pertandingan berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk meneroka potensi diri, mencabar kemampuan serta membina keyakinan melalui aktiviti kreatif di luar bidang akademik.

Penyertaan itu juga memperkukuh peranan seni dan kebudayaan sebagai medium pembentukan sahsiah, kreativiti serta jati diri mahasiswa, selaras dengan aspirasi UMT untuk melahirkan graduan yang berilmu, berketerampilan, kreatif, berdaya saing dan memiliki nilai kemanusiaan tinggi.

UMT merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan AKASIA HEPA UMT atas kejayaan itu, yang diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan mengangkat martabat seni dan kebudayaan serta mengharumkan nama universiti pada peringkat lebih tinggi.

Total Views: 2