Advertisement

Pusat Islam UUM Agih RM 22,200 Dana Infaq Kepada Pelajar – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh Pusat Islam JHEPA UUM

Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menyalurkan sebanyak RM22,200 kepada 74 pemohon yang memenuhi kriteria penerimaan Dana Infaq bagi sesi agihan tahun ini menerusi Majlis Mahabbah Bersama Penerima Dana Infaq yang berlangsung di Dewan Seminar Pusat Islam UUM, semalam.

Dana Infaq tersebut dihimpunkan melalui sumbangan sukarela kakitangan UUM menerusi potongan gaji bulanan ke Tabung Amanah Dana Infaq.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, inisiatif ini merupakan antara usaha universiti memperkukuhkan jaringan kebajikan bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan kewangan.

Menurutnya, pada masa sama majlis berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara Pusat Islam dengan pelajar penerima bantuan, selain memberikan penerangan mengenai syarat kelayakan dan kaedah penyaluran sumbangan.

“Bantuan yang diterima bukanlah sesuatu yang perlu dimalukan, sebaliknya merupakan manifestasi keprihatinan dan kasih sayang penyumbang terhadap pelajar yang memerlukan,” katanya.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban kewangan penerima serta menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian dan kehidupan.

Menurutnya, pelajar juga digalakkan membina hubungan berterusan dengan Pusat Islam melalui penyertaan dalam pelbagai program kerohanian, kebajikan dan kemasyarakatan, bukan sekadar hadir untuk urusan permohonan bantuan.

“Hari ini mungkin kita hadir sebagai penerima bantuan, tetapi suatu hari nanti kita berharap agar saudara dan saudari pula menjadi insan yang mampu memberi dan membantu orang lain.

“Jangan sesekali berasa rendah diri kerana menerima bantuan. Sebaliknya, jadikanlah peluang ini sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dan membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut berkongsi pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan kebajikan yang disediakan oleh universiti menerusi Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) serta Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terbela.

Pusat Islam berharap agar penerima memanfaatkan sumbangan tersebut sebaik-baiknya serta mendoakan kesejahteraan dan keberkatan rezeki para penyumbang.

Inisiatif Dana Infaq ini memperkukuhkan budaya saling membantu dalam komuniti universiti, di samping menyemai nilai syukur, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Usaha ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki keperibadian mulia dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat.

Total Views: 1