Berita dan Gambar oleh Pusat Kaunseling JHEPA UUM
SINTOK, 27 Oktober 2026 – Program 3 Pointer : Grow, Focus & Achieve anjuran Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya dilaksanakan menerusi platform atas talian Webex. Program ini berlangsung pada hari Selasa, 27 Oktober 2026. Program ini bertujuan membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan potensi diri, menetapkan matlamat akademik yang jelas serta membina perancangan tindakan dan stratergi pembelajaran untuk mencapai sasaran akademik.
Slot pertama yang bertajuk “Next Level: Misi Cemerlang” telah disampaikan oleh Dr. Mukhriz Izraf bin Azman Aziz, Profesor Madya dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM). Menerusi ceramah tersebut, beliau mengupas perbezaan kaedah pembelajaran pelajar dahulu dan kini yang semakin dipengaruhi oleh penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), khususnya selepas berlaku pandemik COVID-19 yang telah mengubah landskap pendidikan dan pendekatan pembelajaran. Beliau turut menjelaskan kebaikan serta keburukan penggunaan AI dalam kalangan pelajar. Beliau juga berkongsi lima strategi bijak memanfaatkan teknologi AI sebagai alat bantu pembelajaran. Beliau menegaskan bahawa AI seharusnya digunakan sebagai medium sokongan untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan bukan sebagai kebergantungan sepenuhnya.


Slot kedua yang bertajuk “Dean’s Edge: Formula Pointer Padu” telah disampaikan oleh Puan Noorul ‘Adilah binti Che Hamzah, Pegawai Psikologi, Pusat Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM). Menerusi perkongsian tersebut, beliau memberikan pendedahan mengenai kaedah pembelajaran yang berkesan di alam universiti termasuk penerangan berkaitan sistem pengiraan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bagi membantu pelajar memahami pencapaian akademik mereka. Selain itu, beliau turut berkongsi pelbagai tip dan strategi untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam tugasan (assignment) serta peperiksaan, sekali gus membantu pelajar merancang kaedah pembelajaran dengan lebih sistematik dan meningkatkan prestasi akademik sepanjang pengajian di universiti.
Slot ketiga telah disampaikan oleh Dr. Za’im bin Ahmad, Pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kokurikulum UUM. Menerusi perkongsian tersebut, beliau menekankan kepentingan membuat perancangan akademik yang sistematik sebagai salah satu langkah untuk mencapai kejayaan sepanjang pengajian di universiti. Beliau turut mengupas aspek pembentukan karakter dan sikap kepimpinan yang positif dalam diri pelajar, selain menekankan kepentingan mengasah kemahiran insaniah (soft skills) melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti di universiti. Di samping itu, beliau turut berkongsi panduan dalam membina daya tahan diri bagi membantu pelajar menghadapi cabaran, mengatasi tekanan serta menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi sepanjang menempuh alam pengajian tinggi.


Program ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Kaunseling, JHEP UUM dalam memperkasa kesejahteraan dan kecemerlangan akademik mahasiswa melalui pendekatan bimbingan, sokongan psikologi serta pembangunan potensi diri. Pusat Kaunseling akan terus komited dalam merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang bersesuaian bagi membantu mahasiswa mengenal pasti potensi diri, mengatasi cabaran sepanjang pengajian serta membina keyakinan untuk mencapai kejayaan akademik. Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai daya tahan diri, kemahiran insaniah dan kesejahteraan psikologi yang seimbang.













