Oleh : Prof. Dr. Mohd Fauzi Abu @ Hussin
JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Sumbangan kepada pendidikan bukan sekadar membuka peluang untuk menimba ilmu, malah turut menyemai harapan dan memberi ruang kepada penerimanya untuk meneroka potensi diri serta membina masa hadapan yang lebih gemilang.
Kejayaan tiga penerima Biasiswa Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meraih anugerah kecemerlangan sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 memperlihatkan peranan para dermawan dalam menyokong pembangunan bakat dan kecemerlangan mahasiswa.
Tiga orang graduan ini merupakan antara 48 penerima Biasiswa Endowmen UTM yang bergraduasi pada majlis konvokesyen ke 70 kali ini. Pencapaian mereka turut mencerminkan bagaimana sokongan filantropi dapat membantu mahasiswa mengembangkan potensi dan merealisasikan aspirasi pendidikan mereka.

Antara yang mencatat pencapaian membanggakan ialah Camily Tang Jia Lei, penerima Biasiswa Endowmen Merdeka dari Fakulti Komputeran, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sempurna 4.00 dan menerima Anugerah Gemilang Akademik. Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Data) dengan Kepujian.
Turut meraih pengiktirafan ialah Muhammad Aiman Alif bin Zaidi, penerima Biasiswa Endowmen Alumni UTM dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, yang menerima Anugerah Alumni. Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi dengan Pendidikan (Kejuruteraan Mekanikal) dengan Kepujian.
Sementara itu, Muhammad Izzuddin Hakim bin Ramdzan, penerima Biasiswa Endowmen Azman Hashim dari Fakulti Pengurusan, turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik ACCA atas pencapaiannya dalam program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian.
Sumbangan Hari Ini, Legasi Generasi Akan Datang
Kejayaan ketiga-tiga graduan ini memberikan makna yang besar kepada para dermawan yang telah mengamanahkan sumbangan mereka kepada UTM. Sumbangan kepada pendidikan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan pelaburan dalam pembangunan ilmu, modal insan dan kecemerlangan generasi masa hadapan.
Melalui dana endowmen, sumbangan yang diterima dapat membantu membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh pendidikan berkualiti, mengembangkan bakat dan merealisasikan cita-cita mereka.
Pencapaian graduan hari ini mencerminkan nilai keprihatinan para dermawan dan filantropis yang menyokong pendidikan. Dengan penglibatan lebih ramai penyumbang, lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk generasi mahasiswa akan datang.
Sehubungan itu, Seksyen Pendanaan UTM terus mengalu-alukan penyertaan individu, alumni, yayasan dan organisasi korporat untuk menyumbang kepada dana endowmen universiti. Kerjasama berterusan ini penting bagi memperluas manfaat pendidikan serta memperkukuh kelestarian pembangunan universiti.
UTM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang Biasiswa Endowmen UTM atas kepercayaan dan komitmen mereka dalam memperkasa pendidikan tinggi.
Orang ramai, alumni, yayasan dan organisasi korporat yang berhasrat untuk turut menyumbang serta membina legasi pendidikan bersama UTM boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif endowmen melalui laman sesawang rasmi https://endowmen.utm.my.
Kejayaan tiga graduan ini membuktikan bahawa nilai sebuah sumbangan tidak terhenti pada selembar ijazah semata-mata, sebaliknya terus berkembang melalui lahirnya generasi berilmu, pencapaian kecemerlangan serta manfaat yang bakal disumbangkan kembali kepada masyarakat.

Sumber: UTM NewsHub













