Advertisement

Perdana Menteri Malaysia Ke-9 Sempurnakan Perasmian PESKON UUM Kali Ke-39 – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh Unit Media & Keterlihatan JHEPA UUM

SINTOK, 17 NOVEMBER 2026 – Pesta Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (PESKON) ke-39 kali ini disempurnakan oleh  Perdana Menteri Malaysia ke-9, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Ismail Sabri Yaakob, bertempat di Padang Kawad PALAPES, Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah sebagai PESKON pertama yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri.

Perasmian PESKON ke-39 yang berlangsung pada 15 November 2026 dengan tema “Mahasiswa Berilmu Pemacu Graduan Holistik” merupakan antara acara utama bersempena sambutan Majlis Konvokesyen UUM ke-39. Pesta ini menjadi platform menghimpunkan mahasiswa, warga universiti dan masyarakat dalam suasana penuh kemeriahan menerusi pelbagai aktiviti serta pengisian menarik.

Kehadiran YB Dato’ Sri Dr. Ismail Sabri Yaakob turut membawa makna tersendiri apabila beliau baru sahaja menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada UUM pada Majlis Konvokesyen ke-39. Kejayaan akademik tersebut diperolehi menerusi penyelidikan bertajuk Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik Covid-19, mendokumentasikan pengalaman Malaysia menguruskan krisis pandemik dari perspektif akademik.

Pencapaian tersebut memperlihatkan bahawa budaya ilmu dan usaha menuntut ilmu tidak terbatas kepada usia mahupun kedudukan, malah menjadi inspirasi bahawa pembelajaran merupakan suatu perjalanan berterusan.

Beliau dalam ucapan perasmiannya mengiktiraf keupayaan serta kematangan kepimpinan mahasiswa dalam menganjurkan acara universiti, sambil menyeru warga kampus agar sentiasa mengimbangi kecemerlangan ilmu dengan kemuliaan akhlak dan kesediaan menabur bakti kepada masyarakat serta negara.

Sepanjang penganjuran PESKON 39, pelbagai aktiviti dan pengisian menarik disediakan merangkumi aspek keilmuan, kesukanan, keusahawanan serta persembahan kebudayaan bagi memberikan pengalaman bermakna kepada para pengunjung.

Pengarah PESKON 39, Muhammad Fariqh Ikhwan Mohd Zureen Azwan berkata PESKON 39 diraikan sebagai wadah pembelajaran praktikal yang membina kematangan pelajar dalam menguruskan acara berskala besar, menjalin kerjasama sepasukan, dan mencetuskan keberanian untuk meneroka bidang keusahawanan.

Penganjuran PESKON bukan sekadar menjadi medan meraikan kejayaan akademik para graduan, malah turut mencerminkan keupayaan mahasiswa dalam mengasah bakat kepimpinan, membina jaringan sosial, memperkukuh semangat kerjasama dan menimba pengalaman melalui penglibatan aktif dalam penganjuran program berskala besar.

PESKON 39 sekali gus menjadi manifestasi komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, kemahiran insaniah dan jati diri yang unggul.

Majlis perasmian PESKON 39 turut dihadiri oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed Naib Canselor UUM, YBhg. Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim Ahli Lembaga Pengarah UUM merangkap Pengerusi UUM Holdings, YBhg. Dato’ Said Ali Said Rastan Ahli Lembaga Pengarah UUM, Yang Berusaha Dr. Mazli Multazam Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Saudara Aidil Azli Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM.

Total Views: 3