Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 16 November 2026 – Kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup, khususnya dalam memastikan akses kepada makanan pada harga berpatutan.
Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi telah mengadakan lawatan ke Dataran Cendekia, UiTM Shah Alam bagi meninjau pelaksanaan inisiatif Menu Kasih Siswa.
Turut hadir bersama adalah Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Hjh. Ikhwana Hj. Misnan dan Ketua Unit Ruang Niaga, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Hj. Amizar Fadzilah Hj. Mohd Amin.

Sepanjang lawatan tersebut, beliau beramah mesra dengan para peniaga dan mahasiswa serta mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan. Pendekatan ini bertujuan memastikan penyediaan makanan pada harga berpatutan dapat memenuhi keperluan sebenar mahasiswa.
“Akses kepada makanan yang mencukupi dan berpatutan merupakan antara aspek penting dalam menjaga kesejahteraan mahasiswa. Universiti sentiasa komited untuk memastikan inisiatif kebajikan seperti Menu Kasih Siswa dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa,” menurut beliau.
Sehingga kini, sebanyak 159 premis perniagaan yang menawarkan Menu Kasih Siswa telah beroperasi di seluruh sistem UiTM, termasuk kampus cawangan, bagi menyediakan pilihan makanan pada harga berpatutan kepada mahasiswa.

Pelaksanaan inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan JHEP dalam menangani isu kelaparan mahasiswa di samping membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Lawatan tersebut turut mencerminkan komitmen kepimpinan universiti dalam mengamalkan pendekatan turun padang bagi menilai keberkesanan pelaksanaan inisiatif kebajikan serta memahami cabaran yang dihadapi mahasiswa.

Melalui usaha berterusan ini, UiTM kekal komited untuk memperkukuh ekosistem kebajikan mahasiswa yang inklusif dan responsif terhadap keperluan semasa, selaras dengan aspirasi universiti untuk memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara.












