PASIR PUTEH, 14 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 kepada Rubiyatul Ainur Mardariefa Din Azman, bakal mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah, menerusi inisiatif Ziarah Kasih Bakal Pelajar Baharu Sesi 2026/2027 di Kampung Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.
Rubiyatul bakal melanjutkan pengajian dalam Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Kepujian di Fakulti Sains, UTM. Beliau merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik dan dibesarkan dalam keluarga yang berdepan kekangan kewangan.
Bapanya, Din Azman Mohd Nor, bekerja sebagai buruh kasar selain melakukan pelbagai pekerjaan sampingan di sekitar kampung bagi menyara keluarga. Ibunya, Rohana Muhamad, pula bekerja sebagai pembantu kantin sekolah. Menyedari cabaran yang dihadapi keluarganya, Rubiyatul turut membantu ibunya di kantin sekolah bagi meringankan beban harian.
Keadaan kewangan keluarga menjadi lebih mencabar apabila lima orang adik-beradiknya masih bersekolah atau melanjutkan pengajian. Sehubungan itu, bantuan yang disalurkan menerusi inisiatif Ziarah Kasih diharap dapat meringankan beban keluarga serta membantu Rubiyatul memulakan pengajian tinggi dengan lebih tenang dan memberikan tumpuan kepada pembelajaran.
Lawatan tersebut turut disertai beberapa wakil kepimpinan universiti, antaranya Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed; Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad; Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM Kuala Lumpur, Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan Abu; serta wakil Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Radhir Sham Mohamad.
Dalam kunjungan itu, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed menyempurnakan penyerahan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan UTM kepada Rubiyatul. Selain bantuan kewangan, bakul makanan sumbangan BAKES UTM Kuala Lumpur turut disampaikan kepada keluarga berkenaan sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan bakal mahasiswa dan keluarganya.

Inisiatif Ziarah Kasih ini mencerminkan usaha UTM dalam menyantuni bakal mahasiswa dengan mengambil kira keperluan dan latar belakang keluarga mereka sebelum memulakan pengajian tinggi. Selain menyediakan sokongan kewangan dan keperluan asas, pendekatan turun padang seperti ini turut membolehkan universiti memahami cabaran yang dihadapi bakal mahasiswa serta mengenal pasti bentuk sokongan yang bersesuaian.
Kerjasama dengan YPS dan pihak lain yang berkaitan diharap dapat diteruskan bagi memperluas sokongan kepada bakal mahasiswa yang memerlukan. Usaha ini penting bagi membantu mereka membuat persediaan yang lebih baik, menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti dan memberikan tumpuan kepada pengajian demi mencapai aspirasi akademik masing-masing.
Sumber: UTM NewsHub












