Advertisement

PPKKG Anjur UUM Mini Career Day 2026 Meriahkan Minggu Konvokesyen UUM Ke-39 – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh PPKKG JHEPA UUM

SINTOK, 16 November 2026 – Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Talentbank Sdn. Bhd. telah menganjurkan UUM Mini Career Day 2026 bersempena Minggu Konvokesyen UUM Ke-39 bertempat di Ruang Legar, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.

Program ini bertujuan untuk menyediakan platform kepada pelajar dan bakal graduan berinteraksi secara langsung dengan pihak industri, mendapatkan pendedahan mengenai peluang pekerjaan serta meneroka laluan kerjaya yang bersesuaian dengan bidang pengajian masing-masing.

Program ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar UUM dan pengunjung luar termasuk pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah yang mencerminkan minat dan kesungguhan golongan mahasiswa untuk mendapatkan peluang serta membina jaringan profesional bersama pihak industri.

Sebanyak 13 organisasi dan syarikat daripada pelbagai sektor industri telah mengambil bahagian dalam program ini, iaitu Talentbank Sdn. Bhd., Lion Estate Advisors Sdn. Bhd., AIA, DHL APSSC, Great Eastern, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Prudential, Plexus, Tatacara Sdn. Bhd., Takaful Ikhlas Family Berhad, Public Mutual, Prinx Chengshan dan Merdeka Center.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, memahami keperluan dan kehendak semasa majikan serta berkomunikasi secara terus dengan wakil syarikat yang terlibat. Inisiatif ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk membina hubungan awal dengan bakal majikan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama pihak industri, satu sesi penyerahan sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat yang terlibat telah disempurnakan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Dr. Mazli Mutazam. Sesi tersebut turut diiringi oleh Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah dan Penolong Pengarah Kanan PPKKG, Rose Fazlinda Yanti Abd Rashid.

Bagi memeriahkan lagi program, pihak PPKKG turut mengadakan sesi cabutan bertuah khas untuk para peserta dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk headset Baseus serta sebuah jam pintar Xiaomi sebagai hadiah utama.

Penganjuran UUM Mini Career Day 2026 mencerminkan komitmen berterusan PPKKG dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri, di samping memperluas akses pelajar kepada peluang kerjaya serta meningkatkan tahap kesediaan graduan menghadapi pasaran pekerjaan.

Melalui platform seumpama ini, PPKKG berharap dapat terus melahirkan graduan yang berdaya saing, kompeten dan bersedia memenuhi keperluan industri yang semakin dinamik.

Total Views: 8