SONGKHLA, THAILAND – Isu keterjaminan makanan dan usaha membantu mahasiswa yang memerlukan bakal menjadi antara fokus kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Thaksin University menerusi International Student Exchange Programme 2027 (ISEP’27) yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2027.
Perancangan itu dibincangkan dalam sesi pertemuan antara SMMTC UUM dan Thaksin University di kampus Songkhla pada 25 September 2026 yang diketuai Asst. Prof. Dr. Tanapat Temrattanakul bersama delegasi SMMTC UUM.
Antara pengisian yang dicadangkan ialah SDG Roundtable Discussion: Zero Hunger yang bakal menghimpunkan mahasiswa untuk membincangkan isu keterjaminan makanan serta mengetengahkan konsep bantuan “mahasiswa kepada mahasiswa”, iaitu mahasiswa membantu mahasiswa melalui inisiatif berasaskan komuniti kampus.


Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penganjuran pertandingan antarabangsa yang membolehkan mahasiswa daripada negara ASEAN berkongsi perspektif, mengenal pasti isu sebenar berkaitan SDG 2: Zero Hunger dan membangunkan cadangan penyelesaian yang boleh dilaksanakan dalam konteks komuniti universiti.
Pengarah ISEP’27, Nur Atikah Hasril berkata, antara perancangan yang sedang dibangunkan ialah ASEAN Campus Community Kitchen Blueprint, satu kerangka yang menggabungkan idea mahasiswa dalam menghasilkan model bantuan makanan berasaskan komuniti kampus.
“Melalui ISEP’27, kami mahu mahasiswa daripada negara berbeza bukan sahaja bertemu dan bertukar budaya, tetapi duduk bersama mengenal pasti masalah, berkongsi pengalaman serta menghasilkan idea yang mempunyai potensi untuk memberi manfaat kepada komuniti kampus,” katanya.
Sementara itu, Penasihat ISEP’27, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, kerjasama antarabangsa menerusi program mobiliti tidak berkredit perlu bergerak melangkaui konsep lawatan dan pertukaran budaya dengan memberi ruang kepada mahasiswa untuk menangani isu sebenar yang dikongsi bersama di rantau ASEAN.
“Zero Hunger merupakan isu yang boleh dilihat daripada konteks kehidupan mahasiswa sendiri. Oleh sebab itu, ISEP’27 memberi penekanan konsep daripada perbincangan kepada tindakan, supaya hasil perbincangan mahasiswa dapat diterjemahkan kepada satu rangka tindakan yang praktikal dan berpotensi disesuaikan oleh komuniti universiti,” katanya.
Perancangan pembangunan ASEAN Campus Community Kitchen Blueprint sempena ISEP’27 adalah rentetan daripada Dapur Siswa MADANI yang dilancarkan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr Ahmad Martadha Mohamed pada bulan Januari yang lalu.

ISEP’27 merupakan program mobiliti tidak berkredit anjuran Persatuan Komunikasi (PERKOM) dengan kerjasama SMMTC UUM yang dirancang berlangsung pada Mac 2027 bagi tahun keempat dengan penglibatan rakan strategik antarabangsa bagi memperkukuh pembelajaran silang budaya, kepimpinan mahasiswa dan jaringan ASEAN.
Berita dan gambar oleh: Nur Atikah Hasril












