Oleh: Muhamad Fatih Khamsani
SUNGAI LURUS, BATU PAHAT. Skuad Sukarelawan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Clean Earth Movement 2026 pada 27 September 2026 bertempat di Pantai Sungai Lurus, Batu Pahat, Johor.
Program ini diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Mohd Hanif bin Ismail dengan sokongan Dr. Mohd Hafizal bin Hanipah selaku pegawai pengiring program.
Program turut disertai warga FKAAB, YB Tuan Haji Mohd Yusla bin Ismail, ADUN Senggarang, serta penduduk kampung dan komuniti setempat.
Program ini diadakan bagi memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta menggalakkan tanggungjawab sosial mahasiswa melalui penglibatan bersama komuniti.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah pembersihan pantai, pengumpulan sampah dan usaha menceriakan kawasan sekitar Pantai Sungai Lurus.
Program ini turut disertakan dengan Program Pemindahan Ilmu (KTP) kepada komuniti setempat melalui pameran dan perkongsian ilmu berkaitan kepentingan kehidupan marin serta penjagaan ekosistem pesisir.
Perkongsian turut memberi penekanan terhadap kebersihan dan kelestarian air pantai serta kesan sampah terhadap hidupan laut.
Selain itu, komuniti turut didedahkan kepada pengurusan sampah dan usaha mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian. Pengisian ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai dan memelihara ekosistem pesisir.
Penglibatan mahasiswa bersama komuniti melalui aktiviti lapangan dan pemindahan ilmu telah mewujudkan ruang perkongsian pengetahuan serta meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar.
Interaksi antara warga universiti dengan komuniti setempat turut memperkukuh hubungan dua hala dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.
Program ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan nilai kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung bersama masyarakat.
Kerjasama antara FKAAB, komuniti setempat dan wakil kawasan turut menyokong usaha UTHM dalam memperluas manfaat ilmu kepada masyarakat.
Secara keseluruhannya, Clean Earth Movement 2026 bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebersihan kawasan pantai, malah menggabungkan elemen kesukarelawanan, kelestarian alam sekitar dan pemindahan ilmu kepada komuniti.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti serta melahirkan mahasiswa yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.













