Oleh: Aisha Zarifah Nordin, Muhammad Amir Asyraf Adnan, Cik Ummikalsum Mat Lazim
TANJUNG MALIM, 12 NOVEMBER 2026 – Berteraskan aspirasi “Membangun Generasi Rabbani, Memacu Peradaban Insani”, Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-FURQAN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Bengkel Pengurusan Organisasi Persatuan Pelajar i-FURQAN selama tiga hari bermula 12 hingga 14 November 2026 sebagai usaha memperkasa kepimpinan mahasiswa yang berwibawa, berintegriti dan berteraskan nilai Islam.
Bengkel ini menghimpunkan seramai 72 orang pimpinan daripada tiga persatuan di bawah i-FURQAN, iaitu 27 orang daripada Persatuan Pendidikan Islam (PPI), 25 orang daripada Persatuan Tahfiz al-Quran dan Qiraat (PTQ) serta 20 orang daripada Persatuan Turath Islami (PTI). Penglibatan ketiga-tiga persatuan ini mencerminkan komitmen bersama dalam membina barisan kepimpinan mahasiswa yang bukan sahaja kompeten dalam pengurusan organisasi, malah memiliki kekuatan ilmu, akhlak dan jati diri rabbani.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 i-FURQAN, Profesor Madya Dr. Norhisham bin Muhamad. Majlis turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada pimpinan persatuan sebagai simbol penerimaan amanah dan komitmen dalam menggalas tanggungjawab organisasi. Para peserta turut mengikuti sesi taujihat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah 2 i-FURQAN, Profesor Madya Dr. Mohd Noor bin Daud yang menekankan tanggungjawab seorang pemimpin serta peranan mahasiswa dalam menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan i-FURQAN.


Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berkaitan pengurusan organisasi yang merangkumi pemurnian penulisan kertas kerja, prosedur kewangan dan perancangan takwim persatuan. Pengisian ini bertujuan meningkatkan kecekapan pimpinan dalam mengurus organisasi secara sistematik, merancang aktiviti dengan lebih strategik serta memastikan setiap pelaksanaan program memberikan manfaat kepada warga kampus.
Selain itu, peserta turut mengikuti pengisian berkaitan pengurusan protokol dan etiket sosial, perbincangan pelan strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bagi sesi 2026/2027 serta tatacara penulisan siaran media. Bengkel ini turut diserikan dengan aktiviti team building yang memberi penekanan terhadap pembinaan ukhuwah, komunikasi berkesan dan semangat kerjasama antara pimpinan ketiga-tiga persatuan.

Pengalaman kepimpinan turut dikongsikan oleh mantan Yang di-Pertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO), Ahmad Haziq Arawi bin Hamidi, yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Siswa UPSI 2025. Perkongsian tersebut memberikan pendedahan kepada peserta tentang realiti kepimpinan mahasiswa, cabaran mengurus organisasi serta kepentingan membina kesepaduan dalam pasukan bagi memastikan kelangsungan sesebuah organisasi.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini bukan sekadar menjadi medan pemindahan ilmu dan peningkatan kemahiran pengurusan, malah merupakan platform strategik dalam membentuk karakter, memantapkan jati diri serta memperkukuh kesatuan kepimpinan mahasiswa i-FURQAN. Ilmu dan pengalaman yang diperoleh diharapkan dapat diterjemahkan melalui pengurusan persatuan yang lebih tersusun, progresif dan berimpak tinggi.

Sesungguhnya, usaha membangun generasi rabbani bermula dengan pembentukan pemimpin yang menjadikan iman sebagai landasan, ilmu sebagai panduan dan amanah sebagai pegangan. Melalui kepimpinan mahasiswa yang berteraskan nilai Islam, i-FURQAN berhasrat melahirkan generasi pemimpin yang berakhlak, berilmu dan kompeten dalam menyumbang kepada pembangunan ummah serta pembinaan peradaban insani.












