Teks: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
Foto: Nirmaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
MANJUNG, 23 Oktober 2026 – Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026, acara tahunan anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), kembali menyemarakkan seni warisan budaya Melayu serta memperkukuh jati diri bangsa menerusi pelbagai pengisian kebudayaan dan kemasyarakatan yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026.
Sebagai salah satu pengisian festival tersebut, PULARA Masuk Kampung 2026 berlangsung di empat lokasi di Manjung, iaitu Kampung Sungai Wangi, Kampung Pasir Panjang, Taman Samudera dan Kampung Tanjung Kepah, Lekir, dengan penyertaan 20 universiti awam (UA) yang dibahagikan kepada empat kumpulan bagi mendekati tradisi serta kehidupan masyarakat setempat.



Di Kampung Tanjung Kepah, Lekir, yang menjadi lokasi penglibatan Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis, aktiviti hari pertama dimulakan dengan mencari kepah dan merewang bersama penduduk kampung bagi menyemarakkan semangat gotong-royong serta mengeratkan hubungan antara peserta dengan komuniti setempat.


Kemeriahan diteruskan pada sebelah malam dengan persembahan kompang oleh Kumpulan Kompang Sudut Warisan yang diketuai oleh Encik Md. Noh dan turut mengetengahkan seni muzik tradisional Melayu sebagai warisan budaya yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Setiausaha JPKK Tanjung Kepah, Puan Norhaida Mohd Khairudin, merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung atas kesudian menerima kehadiran warga PULARA serta memberikan kerjasama dan bantuan dalam menjayakan aktiviti yang berlangsung.


Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Kebudayaan UniMAP, Dr. Rozilawati Mahadi, Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Dr. Azmeer serta Naib Ketua Pemuda UMNO Cawangan Lumut, Encik Muhammad Asyraf Mas Aud
Penganjuran ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan antara universiti dengan masyarakat, di samping menyemai penghargaan terhadap seni dan tradisi Melayu sebagai warisan budaya yang mencerminkan identiti bangsa.












