Advertisement

Barisan Kepimpinan KMUKM Sesi 2026/2027 Rasmi Dilantik

BANGI, 16 November 2026 – Barisan kepimpinan baharu Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) bagi sesi 2026/2027 secara rasmi menerima watikah pelantikan dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan KMUKM yang berlangsung di Bilik Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Majlis tersebut menyaksikan pelantikan Saudara Mirza Shauqi Mohd Sa’Odi sebagai Presiden KMUKM Sesi 2026/2027 bersama 40 mahasiswa yang memenangi kerusi Pilihan Raya Kampus serta tiga orang senator bagi menggalas tanggungjawab mengikut portfolio masing-masing.

Watikah pelantikan ini telah disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, YBrs. Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal, dengan diiringi Ahli Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain@Zakaria, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBhg. Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman dan Pendaftar, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud.

Saudara Mirza Shauqi Mohd Sa’Odi telah menerima lantikan sebagai Presiden KMUKM sesi 2026/2027
Sesi Lafaz Ikrar diketuai oleh Saudara Mirza Shauqi Mohd Sa’Odi

Kesemua barisan kepimpinan turut melafazkan ikrar sebagai simbol komitmen dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Pembentukan kepimpinan baharu ini diharapkan dapat memperkukuh peranan KMUKM sebagai wadah representasi mahasiswa, sekali gus memperjuangkan aspirasi, kebajikan dan kepentingan mahasiswa serta memperluas penglibatan mereka dalam agenda pembangunan universiti.

Dalam ucapannya, YBrs. Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal menekankan kepentingan kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan bertanggungjawab dalam membentuk ekosistem universiti yang progresif. Beliau turut mengingatkan bahawa kepimpinan di peringkat universiti bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya menuntut komitmen, kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta keupayaan membawa suara warga universiti.

Ucapan oleh Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, YBrs. Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal

Majlis turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan KMUKM sesi 2025/2026 yang diterajui oleh Saudara Muhammad Haikal Hamidi atas segala khidmat bakti dan sumbangan sepanjang tempoh memegang tampuk kepimpinan. Penghargaan turut diberikan kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) UKM atas komitmen dan kejayaan mengendalikan Pilihan Raya Kampus.

Semoga barisan kepimpinan KMUKM sesi 2026/2027 dapat menggalas amanah dengan penuh integriti, komitmen dan tanggungjawab demi memperkukuh suara mahasiswa serta menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

Mahasiswa UKM yang telah berjaya menerima watikah dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan KMUKM

Dalam perkembangan berkaitan, turut dibawa melawat ke Ruang Katarsis dan Dapur Siswa di PUSANIKA bagi meninjau inisiatif serta kemudahan yang disediakan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dalam menyokong kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa.

Lawatan ke Dapur Siswa, Bangunan Pusanika dan Ruang Katarsis, HEP-UKM

Total Views: 14