Advertisement

Pelajar UPSI Johan Kategori Ideas dalam The Competition International Student Seminar on Pencak Silat, Universitas Negeri Malang

oleh : Muhammad Haikal Ahmad

MALANG, INDONESIA, 19 November 2026 – Tujuh pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI, diketuai Muhammad Haikal bin Ahmad, muncul johan (1st Place Winner) Kategori Ideas dalam The Competition International Student Seminar on Pencak Silat. Pertandingan itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kejurulatihan Sukan (PKO), Fakultas Ilmu Keolahragaan (FIK), Universitas Negeri Malang, dengan topik pembentangan “Two Mission One Goal”.

Ahli pasukan ialah Muhammad Afif bin Radzuan, Wan Muhammad Ammar bin Wan Mahalil, Nurul Fara Kartika binti Dasiman, Nur Irhamna Qamariah binti Wira, Muhammad Ezwan Shahrul A’mri bin Mat Suhaimi dan Norsyakirah binti Muksin.


Kejayaan ini dicapai semasa Program Mobiliti Tanpa Kredit FSSK dan Pusat Sukan UPSI di Universitas Negeri Malang pada 16 hingga 22 November 2026. Pusat Sukan UPSI ialah penganjur, dan delegasi terdiri daripada tujuh pelajar serta seorang pegawai pengiring, Datin Wan Nurul Hidayu dari Pusat Sukan UPSI. Program ini bertujuan memperluas pengalaman akademik dan budaya pelajar serta mengukuhkan jaringan UPSI dengan universiti rakan di Indonesia.


Pelajar membentangkan idea di hadapan peserta antarabangsa, dan ini melatih kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis serta penyesuaian budaya. Pengalaman ini membuka minda mereka tentang pencak silat dan kejurulatihan sukan di peringkat global.


Kemenangan ini mengangkat nama UPSI di peringkat antarabangsa, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyokong agenda pengantarabangsaan universiti serta jaringan akademik dengan Universitas Negeri Malang.


Pencak silat ialah warisan yang dikongsi oleh Malaysia dan Indonesia. Pasukan UPSI membentangkan idea mereka di negara asal seni itu sendiri, mengatasi cabaran bahasa dan budaya, lalu pulang dengan gelaran johan.

Muhammad Haikal bin Ahmad, ketua pasukan dan Yang Dipertua Kelab Pencak Silat UPSI, berkata: “Sebagai Yang Dipertua Kelab Pencak Silat UPSI, saya melihat kelab ini bukan sekadar tempat berlatih, tetapi wadah membentuk disiplin, adab dan jati diri ahli. Kami berharap kejayaan ini memberi semangat kepada ahli kelab untuk terus memartabatkan seni warisan ini hingga ke peringkat antarabangsa.”

Norsyakirah binti Muksin berkata: “Program ini mengajar saya bahawa akademik dan sukan boleh berjalan seiring. Seorang pelajar perlu seimbang, kuat dalam pembelajaran dan aktif dalam sukan, supaya dapat membawa kejayaan kepada diri dan universiti.”

Muhammad Ezwan Shahrul A’mri bin Mat Suhaimi berkata: “Pengalaman di Malang membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang di dalam kelas. Kami perlu menjadi mahasiswa yang holistik, iaitu berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berani tampil di pentas antarabangsa.”


Pegawai pengiring dari Pusat Sukan UPSI, Datin Wan Nurul Hidayu, berkata: “Kejayaan ini membuktikan program mobiliti memberi nilai tambah yang besar kepada pelajar. Pusat Sukan akan terus mengukuhkan kerjasama dengan universiti rakan supaya lebih ramai pelajar berpeluang mencipta kejayaan seperti ini.”


Kejayaan ini membawa semangat Ukhuwah-Prihatin-Santun-Impak UPSI ke peringkat antarabangsa.

Total Views: 1