TANJONG MALIM, 26 NOVEMBER 2026 – Pesta Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-28 (PESKON-28) terus menyemarakkan kemeriahan apabila hari kedua penganjurannya diserikan dengan pelbagai pengisian merangkumi aspek akademik, kesihatan, pembangunan sahsiah dan kerohanian.
Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah ceramah bertajuk “Untuk Apa Kita Hidup?” yang disampaikan oleh pendakwah bebas, PU Riz, pada sebelah malam selepas persembahan nasyid oleh Kumpulan Alzawa.

Ceramah yang berlangsung di lokasi penganjuran PESKON-28 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir untuk menghayati pengisian kerohanian berkenaan.
Menerusi perkongsian tersebut, para hadirin diajak menyelami hakikat dan tujuan kehidupan, menginsafi tanggungjawab sebagai insan serta menjadikan ajaran agama sebagai pedoman dalam mendepani kehidupan seharian.

Pengisian hari kedua turut dimulakan dengan Istiadat Konvokesyen UPSI ke-28 bagi graduan Sarjana Mod A dan C pada sebelah pagi. Istiadat berprestij itu menjadi detik bersejarah buat para graduan yang diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian serta pencapaian akademik masing-masing.
Dalam pada itu, Program Pemeriksaan Jantung turut dianjurkan di Atrium Pusat Pelajar bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.

Program yang terbuka kepada semua pengunjung itu menyediakan peluang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan, selain memberi pendedahan tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat bagi memelihara kesihatan jantung.
Sementara itu, Pertandingan Ikon Da’ie anjuran Persatuan AMC yang berlangsung di Dataran Cemerlang Bersama pada sebelah petang menjadi wadah kepada peserta untuk menyerlahkan bakat, kreativiti dan kemahiran dalam menyampaikan mesej dakwah.

Pertandingan tersebut turut berperanan memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan generasi muda, selain menyaksikan penyampaian penghargaan kepada para pemenang yang mempamerkan persembahan dan penyampaian terbaik.
Kepelbagaian pengisian sepanjang hari kedua PESKON-28 mencerminkan komitmen UPSI dalam memperluas peranan pesta konvokesyen sebagai wadah penyatuan komuniti, perkongsian ilmu dan pemerkasaan nilai murni.
Penganjuran aktiviti yang merangkumi dimensi akademik, kesihatan, sahsiah dan kerohanian ini diharapkan dapat memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan antara warga universiti dengan masyarakat.













