Advertisement

Program Pembangunan Potensi Pelajar: Memperkasa Potensi, Menggilap Kecemerlangan SPM 2027

Oleh: Nor Hayati Aziz

KOTA BHARU – Seramai 303 orang pelajar aliran Sains dan Perakaunan Maahad Muhammadi Perempuan menyertai Program Pembangunan Akademik dan Pemerkasaan Potensi serta Motivasi Kecemerlangan SPM 2027 yang bertemakan Make Maahad Great Again. Program yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan memperkasa potensi diri, menyemarakkan motivasi pembelajaran serta membentuk generasi pelajar yang berintegriti, berdaya saing dan mempunyai hala tuju masa depan yang jelas.

Program berkenaan mendapat tajaan Yayasan Perantau Maahad Muhammadi (PERAMAH) dengan kerjasama Alumni Maahad Muhammadi (AMM), selain melibatkan 22 orang fasilitator daripada Kelab Sahabat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bertanggungjawab mengendalikan pelbagai pengisian dan aktiviti pembangunan pelajar.

Pelajar aliran Sains dan Perakaunan Maahad Muhammadi Perempuan

Dirangka berteraskan pendekatan pembangunan insan secara holistik, program ini merangkumi aspek pembinaan jati diri, pengukuhan kerohanian, pengurusan emosi, motivasi akademik, kepimpinan serta perancangan hala tuju pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh berkata, program seumpama itu merupakan inisiatif penting dalam membentuk pelajar yang memiliki jati diri kukuh, berintegriti serta bermotivasi tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan kehidupan.

  • “Setiap pelajar mempunyai potensi dan keistimewaan tersendiri. Apa yang penting ialah mereka perlu mengenali kekuatan diri, membina disiplin, mempunyai matlamat yang jelas serta berani melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.
  • “Kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi secara holistik merangkumi pembentukan akhlak, kekuatan rohani, kematangan emosi dan keupayaan menghadapi cabaran,” katanya.
Timbalan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Dr. Hajjah Azizah Hussin dan Pengarah Eksekutif Ansarcomp Group, Puan Ramlah Hamad,

Pada hari pertama, peserta mengikuti sesi refleksi diri, pembinaan jati diri dan motivasi akademik yang dikendalikan oleh Dr. Sakinah Salleh dengan penekanan terhadap kepentingan mengenali potensi diri, membina keyakinan serta menetapkan matlamat kecemerlangan dalam kehidupan dan pembelajaran. Pengisian turut merangkumi teknik pembelajaran berkesan dan pengurusan masa yang memfokuskan pembentukan gaya pembelajaran bersesuaian serta penyediaan jadual belajar yang realistik, terancang dan sistematik.

Selain itu, forum bertajuk Muhasabah Diri: Qalbu Sejahtera, Jiwa Perkasa yang menampilkan Timbalan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Dr. Hajjah Azizah Hussin dan Pengarah Eksekutif Ansarcomp Group, Puan Ramlah Hamad, mengajak peserta menghayati hubungan dengan Allah SWT, ibu bapa dan guru sebagai asas pembentukan peribadi seimbang serta berakhlak mulia.

Bengkel Identiti Remaja Berintegriti

Memasuki hari kedua, peserta mengikuti bengkel Identiti Remaja Berintegriti yang dikendalikan oleh Pensyarah Kanan UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin dengan penekanan terhadap pembentukan disiplin diri, pengurusan emosi dan pengukuhan ketahanan mental dalam mendepani cabaran kehidupan. Sesi Kenali Potensi Diri: Hala Tuju Selepas SPM pula memberikan pendedahan awal berkaitan kesedaran kerjaya dan penetapan matlamat pendidikan bagi membantu peserta mengenal pasti bidang serta laluan pengajian yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.

Pengisian hari kedua turut dilengkapkan dengan slot Lonjakan Tingkatan 4: Fasa Penentu yang menekankan kepentingan menjadikan Tingkatan 4 sebagai landasan awal untuk membina asas akademik yang kukuh sebelum menghadapi peperiksaan SPM.

Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK)

Pada hari ketiga, peserta menyertai slot Aku Boleh Ubah Masa Depanku menerusi aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memberi ruang kepada mereka merangka pelan tindakan akademik secara individu serta mengenal pasti langkah penambahbaikan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. Aktiviti tersebut turut disusuli dengan lafaz ikrar komitmen sebagai manifestasi kesungguhan peserta untuk melakukan anjakan positif dalam kehidupan, meningkatkan disiplin diri dan mempertingkat pencapaian akademik.

Program diakhiri dengan majlis perasmian dan penutupan yang melambangkan komitmen serta kesediaan peserta untuk mengaplikasikan segala ilmu, nilai dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, program ini diharapkan menjadi wahana pembangunan potensi pelajar secara menyeluruh, bukan sahaja dalam aspek kecemerlangan akademik, malah turut merangkumi pembentukan sahsiah, integriti, ketahanan emosi dan keupayaan merancang masa depan.

Pendekatan pembangunan yang mengintegrasikan elemen ilmu, kerohanian, motivasi dan kepimpinan ini selaras dengan aspirasi pendidikan untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Total Views: 0