Advertisement

Pelajar UUM Raih Anugerah 3-Bintang RASMA 2026 Selepas Lengkapkan 90.1 Jam Sukarelawan – MySiswaNow

KUALA LUMPUR, 21 November 2026 – Komitmen dalam aktiviti kesukarelawanan membuahkan hasil apabila Nurul Shameen, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), menerima Anugerah 3-Bintang menerusi Roots & Shoots Malaysia Award (RASMA) 2026 selepas melengkapkan 90.1 jam khidmat sukarelawan.

Pelajar semester lima program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) itu menerima pengiktirafan berkenaan dalam majlis graduasi dan penyampaian sijil RASMA 2026.

Sepanjang menyertai program tersebut dari Jun hingga awal September lalu, beliau menjalani penempatan sukarelawan bersama Water Watch Penang (WWP) dengan memberi tumpuan kepada pendidikan dan pemuliharaan sumber air. Antara aktiviti yang disertainya termasuk pemantauan kualiti sungai, kempen kesedaran penjimatan air kepada masyarakat serta penghasilan kandungan digital menerusi kempen 24-Hour Water Saving Challenge bagi menggalakkan penggunaan air secara lebih lestari.

Menurut Nurul Shameen, cabaran utama sepanjang penglibatan dalam program itu adalah menguruskan masa antara tanggungjawab sebagai pelajar dan komitmen menjalankan aktiviti sukarelawan.

“Pada mulanya saya hanya menyasarkan tahap 1-Bintang sahaja kerana agak mencabar untuk membahagikan masa antara kelas dan kerja sukarelawan, namun minat untuk terus belajar perkara baharu telah mendorong saya meneruskan komitmen hingga berjaya mencapai tahap 3-Bintang dengan 90.1 jam” katanya.

Berdasarkan struktur pengiktirafan RASMA, peserta perlu melengkapkan sekurang-kurangnya 45 jam bagi kategori 1-Bintang, 55 jam bagi 2-Bintang dan 75 jam bagi 3-Bintang. Jumlah 90.1 jam yang dicapai Nurul Shameen bukan sahaja memenuhi syarat kategori tertinggi, malah melepasi jumlah minimum yang ditetapkan sebanyak 15.1 jam.

Roots & Shoots Malaysia Award (RASMA) merupakan program pembangunan belia anjuran Jane Goodall’s Roots & Shoots Malaysia yang diinspirasikan oleh mendiang Dr. Jane Goodall. Program itu bertujuan menggalakkan golongan muda berusia antara 16 hingga 30 tahun melaksanakan tindakan yang memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Pelaksanaan program berkenaan turut mendapat sokongan Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan (MOF) dan Yayasan CIMB, selain kerjasama lebih 30 organisasi pemuliharaan dan komuniti di seluruh negara.

Pencapaian ini membuktikan keupayaan pelajar UUM untuk kekal aktif dan menyerlah dalam aktiviti kesukarelawanan berimpak tinggi di peringkat kebangsaan di samping mengekalkan komitmen terhadap kecemerlangan akademik di universiti.

Inisiatif seumpama ini juga selari dengan aspirasi UUM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan holistik yang berjiwa lestari, sekali gus mencerminkan prinsip yang diperjuangkan oleh Dr. Jane Goodall bahawa setiap tindakan kecil individu mampu membawa perubahan bermakna kepada bumi dan masyarakat.

Total Views: 17