Advertisement

Dari Bilik Kuliah Ke Komuniti: Mahasiswa UiTM Semarakkan Rekreasi Inklusif di PDK Kampar

Oleh : Siti Hajar Asnida Ahmad

KAMPAR, 26 November 2026 – Keceriaan jelas terpancar pada wajah anak-anak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampar, Perak sepanjang berlangsungnya Program Inklusiviti Tanpa Sempadan: Menyemai Keprihatinan, Membina Kebersamaan. Program ini merupakan satu inisiatif kesukarelawanan dan pembelajaran berasaskan komuniti yang memberi peluang kepada mahasiswa mendekati komuniti berkeperluan khas melalui pelaksanaan aktiviti rekreasi yang interaktif, inklusif dan menyeronokkan.

Program ini dianjurkan oleh lapan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sukan (SR241) yang mengikuti pengajian secara Pendidikan Jarak Jauh (e-PJJ) di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Penganjuran program ini adalah bagi memenuhi keperluan kursus Recreation for Persons with Disabilities (SRT650) di bawah bimbingan pensyarah kursus, Hisyam Che Mat.

Pelaksanaan program ini bertujuan memberikan pendedahan secara praktikal kepada mahasiswa berkaitan perancangan dan pelaksanaan aktiviti rekreasi yang bersesuaian dengan keupayaan serta keperluan individu. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk menyemai nilai empati, kesabaran, toleransi dan semangat saling membantu dalam kalangan mahasiswa melalui interaksi secara langsung bersama komuniti.

Warga PDK Kampar menjalani aktiviti pembelajaran interaktif dengan bimbingan fasilitator dari FSR

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti rekreasi adaptif telah dilaksanakan bersama anak-anak PDK Kampar, antaranya Explorace Berhalangan, Baling Pundi Kacang dan Balancing Game Zig Zag. Aktiviti-aktiviti ini dirancang bagi menggalakkan penyertaan aktif, meningkatkan keyakinan diri serta merangsang kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.

Selain itu, aktiviti Explorace Suai Gambar dan permainan mengenal warna melalui balingan beg pundi kacang ke dalam bakul berwarna turut memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka kebolehan masing-masing. Pendekatan aktiviti yang disesuaikan dengan keupayaan peserta membolehkan setiap individu mengambil bahagian, berinteraksi dan menikmati pengalaman rekreasi bersama-sama.

Program ini melibatkan seramai 14 orang anak-anak PDK Kampar yang berusia antara 4 hingga 14 tahun, dengan pelbagai keperluan khas termasuk ketidakupayaan pendengaran dan pertuturan, Sindrom Down, autisme serta ketidakupayaan intelektual. Penglibatan mereka dalam aktiviti rekreasi yang dirancang secara inklusif mencerminkan kepentingan menyediakan peluang kepada setiap individu untuk mengambil bahagian, meneroka potensi diri dan menikmati pengalaman rekreasi dalam persekitaran yang mesra, selamat dan menyeronokkan.

Warga PDK Kampar menjalani aktiviti pembelajaran interaktif dengan bimbingan fasilitator dari FSR

Bagi mahasiswa yang terlibat, pengalaman berinteraksi secara langsung dengan anak-anak PDK merupakan satu pengalaman pembelajaran yang amat bermakna. Mereka berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam kursus, di samping memahami kepentingan penyesuaian aktiviti rekreasi berdasarkan kebolehan, keupayaan dan keperluan setiap peserta.

Hisyam Che Mat berkata, program ini turut memperkukuh kesedaran mahasiswa terhadap peranan rekreasi dalam kehidupan bermasyarakat.

“Rekreasi bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang, malah berperanan sebagai medium membina hubungan sosial, meningkatkan keyakinan diri dan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau turut berharap agar pengalaman menerusi program ini dapat membentuk mahasiswa yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan peka terhadap keperluan komuniti, selaras dengan peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang mempunyai nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Peserta Program bersama-sama warga PDK Kampar

Sebagai tanda penghargaan dan kenangan, anak-anak PDK yang terlibat turut menerima beg cenderahati. Pemberian ini diharapkan dapat menambahkan keceriaan serta menjadi kenangan manis kepada para peserta atas pengalaman dan kebersamaan yang tercipta sepanjang program berlangsung.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada penyelia PDK Kampar, Puan Nor Azian Abd Rahman, serta tenaga pengajar, Puan Junaidah Adnan@Ahuan, Puan Faezah Abdullah Subor dan Puan Nor Shahidayu Yuhani atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang pelaksanaan program.

Sesungguhnya, Program Inklusiviti Tanpa Sempadan membuktikan bahawa setiap individu mempunyai keistimewaan dan potensi tersendiri yang wajar dihargai. Inklusiviti bukan sekadar menerima perbezaan, tetapi turut meraikan kepelbagaian melalui peluang, penghormatan, keprihatinan dan kebersamaan.

Semoga program seumpama ini terus menyuburkan semangat kesukarelawanan, empati dan rekreasi adaptif dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih prihatin, penyayang dan inklusif.

Total Views: 28