Advertisement

Pelajar Baharu UUM Diajak Hayati Falsafah ‘Menjulang Ilmu, Mengakar Adab’ – MySiswaNow

Berita oleh: Noor Zafiera Ahmad Idris
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

SINTOK – Pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) diajak bersama-sama menghayati falsafah‘Menjulang Ilmu, Mengakar Adab dengan menjadikan penguasaan ilmu, pembentukan sahsiah dan kemahiran insaniah sebagai asas sepanjang tempoh pengajian.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelajar bukan sahaja perlu menimba ilmu di dalam dewan kuliah, malah memanfaatkan peluang pembelajaran di luar kuliah bagi membina kemahiran dan pengalaman.

“Pelajar perlu menjadikan falsafah ‘Menjulang Ilmu, Mengakar Adab sebagai pegangan sepanjang berada di UUM dengan menyeimbangkan penguasaan ilmu dan pembentukan adab,” katanya dalam Majlis Ikrar Pelajar Ambilan Kedua Sesi A261 yang diadakan di Dewan Semarak Budi, INASIS Tradewinds, UUM.

UUM menerima kemasukan 347 pelajar baharu ambilan kedua A261 yang mendaftar di inapan siswa (Inasis).Daripada jumlah tersebut, 105 adalah pelajar lelaki dan 242 merupakan pelajar perempuan yang menginap di 11 Inasis.

Dr. Ahmad Martadha berkata, kepentingan kemahiran insaniah dan penguasaan Bahasa Inggeris mesti dimantapkan sebagai persediaan untuk membolehkan graduan UUM bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Di UUM, pelajar dimestikan memperoleh sekurang-kurangnya satu sijil profesional sebelum bergraduasi sebagai nilai tambah kepada kelayakan akademik, selain menyertai program mobiliti bagi memperluas pengalaman, pemikiran dan keyakinan diri.

“Segeralah menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus memandangkan sesi pengajian telah bermula, selain memberi tumpuan kepada pembelajaran dan mendapatkan bantuan daripada pihak universiti sekiranya berdepan sebarang masalah atau tekanan,” katanya.

Beliau berharap pelajar baharu dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang berada di UUM untuk membina kecemerlangan akademik, sahsiah dan kerjaya serta membawa nama baik universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Total Views: 26