Oleh : Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA,
Foto : Media UniMAP
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 21 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia mencipta pencapaian membanggakan apabila kumpulan mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar berjaya meraih Anugerah Poster Kluster Kolaborasi Strategik dan Jaringan pada Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan (SIGMA) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis.
Kejayaan tersebut diraih menerusi poster bertajuk “Jelajah Parlimen dan Lawatan Penandaarasan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM)” yang dihasilkan oleh Muhammad Nazmiuddin Mohamad Nasir, Setiausaha Agung MPP USM, Mohamad Abbas Isrun, Eksekutif Perhubungan Luar dan Antarabangsa MPP USM dan Nurdina Aliya Ramlan, Kerohanian dan Keselamatan MPP USM.
Berlangsung selama dua hari bermula 18 Ogos 2026, SIGMA 2026 anjuran Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama UniMAP menghimpunkan mahasiswa institusi pengajian tinggi seluruh negara.




17 mahasiswa USM, mengatur langkah strategik dalam mencetuskan idea, mempersembahkan inovasi dan mengangkat inisiatif pemerkasaan mahasiswa, sekali gus memperluas jaringan, memperkaya perkongsian pengalaman serta menyemarakkan aspirasi kepimpinan mahasiswa di persada kebangsaan.
Pencapaian delegasi USM di bawah iringan Cik Nur Anis Atikah Almizan, Pegawai Tadbir Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM merangkap Pegawai MASKUM USM, membuktikan keberkesanan pengalaman kepimpinan mahasiswa yang diterjemahkan melalui inisiatif kolaborasi dan jaringan strategik di peringkat kebangsaan.
Pengiktirafan tersebut menyerlahkan keupayaan mahasiswa USM mengadunkan kreativiti, inovasi, komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis dalam menghasilkan idea berdaya saing, sekali gus memperkukuh keyakinan mereka untuk terus meneroka platform kebangsaan dan mengangkat aspirasi universiti sebagai pemimpin muda berwibawa.
Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan tersebut serta menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kecemerlangan mahasiswa dalam mengharumkan nama universiti di persada kebangsaan.
Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/












