Gambar dan Berita oleh: Jannati Sakinah (JOC SELECT)
KG. CINA, SUNGAI PINANG, PERAK, 19 Oktober 2026 – Keprihatinan terhadap nasib masyarakat yang terjejas akibat bencana banjir terus dizahirkan melalui pelaksanaan Misi Sukarelawan Bantuan Pasca banjir UUM Perak 2026 yang menghimpunkan seramai 25 orang sukarelawan, terdiri daripada tujuh (7) orang staf dan 18 orang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM).
Misi ini dilaksanakan bagi membantu komuniti setempat dalam usaha memulihkan keadaan selepas banjir, khususnya menerusi aktiviti pembersihan kediaman, gotong-royong dan penyaluran bantuan keperluan asas kepada penduduk yang terjejas.
Antara pengisian utama misi ialah kerja-kerja pembersihan di dua buah rumah yang terjejas akibat banjir. Aktiviti ini turut disertai dengan gotong-royong bagi membantu membersihkan kawasan kediaman agar penduduk dapat meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang lebih bersih dan selesa.

Selain menyumbangkan tenaga melalui aktiviti pembersihan, pasukan sukarelawan turut menyalurkan sebanyak 50 buah kotak bantuan makanan bagi membantu memenuhi keperluan asas komuniti yang terjejas. Bagi melancarkan pelaksanaan kerja-kerja pembersihan, sebanyak tiga unit waterjet enjin dan tiga unit waterjet elektrik turut disediakan sebagai sokongan logistik sepanjang misi berlangsung.
Penglibatan mahasiswa dan staf UUM dalam misi ini bukan sekadar mencerminkan semangat kesukarelawanan, malah menjadi wadah untuk menyemai nilai empati, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat. Melalui pengalaman turun padang, warga universiti berpeluang mendekati komuniti secara langsung serta memahami cabaran yang dihadapi oleh penduduk dalam proses pemulihan pasca banjir.
Misi ini dianjurkan oleh Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) UUM dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT) serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia.

Usaha ini diharapkan dapat meringankan beban penduduk yang terjejas, membantu mempercepat proses pemulihan kediaman dan menyampaikan mesej bahawa komuniti yang berhadapan dengan bencana tidak bersendirian dalam menempuh cabaran.
Sesungguhnya, sumbangan tenaga, bantuan keperluan asas dan sokongan logistik yang diberikan membawa makna yang besar dalam usaha membina semula kehidupan pasca banjir. Semangat kebersamaan yang ditunjukkan melalui misi ini diharap terus menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki keprihatinan tinggi terhadap masyarakat.












