Oleh: Ikhwan Abdul Kassim
LENGGONG, 20 September 2026 – Usaha melahirkan wira kepimpinan masa depan terus digembleng menerusi penganjuran program Sekolahku Universitiku 19.0 (SKUK 19.0): Pembinaan Karakter Generasi Madani. Program anjuran bersama Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) 26/27, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan SMK Sultan Azlan Shah ini telah berlangsung meriah selama tiga hari dua malam pada 18 hingga 20 September 2026.
Inisiatif berimpak tinggi sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini bertujuan membina jati diri pelajar berteraskan nilai-nilai MADANI, sekali gus menyokong lima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk Good Health and Well-Being, Quality Education, Affordable and Clean Energy, Reduced Inequalities, dan Partnership For The Goals.

Ditempa Menjadi Pemimpin Berkeyakinan dan Berakhlak
Seramai 100 orang pemimpin pelajar SMK Sultan Azlan Shah telah menyertai pelbagai modul dan aktiviti mencabar yang dikendalikan oleh barisan fasilitator UPSI. Menerusi latihan intensif ini, para peserta didedahkan dengan elemen ketahanan mental dan fizikal demi membentuk karakter pemimpin muda yang berdisiplin, berdaya tahan, amanah, berilmu, serta berakhlak mulia.
Majlis penutupan program turut diseri dengan kehadiran Prof. Dr. Badrul Hisyam Yahaya, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam ucapannya, beliau menitipkan pesan bahawa pendedahan kepimpinan seawal alam persekolahan amat kritikal untuk melahirkan generasi berketerampilan yang mampu berbakti kepada sekolah dan masyarakat.

Disiplin dan Adab Teras Kejayaan
Pengetua SMK Sultan Azlan Shah, Puan Zubaidah Yasin, turut meluahkan harapan tinggi agar keperibadian yang dibentuk sepanjang program dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian para pelajar.
“Saya berharap program ini mampu menjadikan pemimpin muda di sekolah ini sentiasa berdisiplin, terutamanya dalam pengurusan masa seperti hadir lebih awal ke sekolah berbanding pelajar lain,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Program SKUK 19.0, Saudari Nur Athirah Marjuhum, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah atas kepercayaan yang diberikan kepada MMKZ UPSI untuk mengendalikan program berimpak ini. Beliau turut mengambil kesempatan mempromosikan UPSI sebagai destinasi pengajian tinggi pilihan, di samping menasihati para peserta agar sentiasa mengimbangi kecemerlangan akademik dengan keindahan adab dan tingkah laku.

Penganjuran SKUK 19.0 membuktikan komitmen berterusan MMKZ UPSI dalam melahirkan pemuda-pemudi yang bakal menjadi tunjang pembangunan dan kecemerlangan sekolah serta negara pada masa hadapan.












