Advertisement

Mahasiswa UTM raih Ijazah Sanad al-Quran bertaraf Mumtaz di Mesir

Oleh : Panji Alam bin Mazhisham

MESIR, 25 Ogos – Kejayaan memperoleh Ijazah Sanad al-Quran Riwayat Hafs ‘an ‘Asim dengan keputusan Mumtaz (cemerlang) menjadi pencapaian bermakna buat Muhammad Haikal Redzwan, mahasiswa tahun kedua Sarjana Muda Sains Biologi, Fakulti Sains (FS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerusi Program Tahsin al-Quran Bersanad dan Tadabbur 2026 di Mesir dan Arab Saudi dari 7 hingga 25 Ogos lalu.

Program anjuran Huffaz Professional Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu memberi peluang kepada Haikal mendalami bacaan al-Quran secara talaqqi di hadapan guru yang mempunyai sanad, selain mengikuti pengisian tadabbur di lokasi bersejarah di Kaherah, Madinah dan Makkah.

Penyertaan beliau turut memperlihatkan usaha mengimbangi kecemerlangan akademik dalam bidang sains biologi dengan penguasaan al-Quran, selaras dengan aspirasi Teras TeknoHafiz (5ETP) dan UTM ASCEND 2030 dalam membentuk mahasiswa yang berilmu serta mempunyai jati diri yang kukuh.

“Program ini membuka peluang berharga untuk saya menimba pengalaman baharu berguru di bumi Mesir dan Arab Saudi,” kata Haikal.

Sepanjang berada di Mesir, Haikal mengikuti jadual pengajian yang padat, termasuk menyemak bacaan sehingga tiga hingga empat juzuk al-Quran sehari di bawah bimbingan Sheikh Hassan. Sesi talaqqi memberi penekanan kepada ketepatan makhraj huruf, hukum tajwid dan kelancaran bacaan.

Muhammad Haikal Redzwan mengikuti sesi talaqqi al-Quran bersama Sheikh Hassan di Mesir

Cabaran bertambah apabila beliau mengalami sakit tekak, sakit kepala dan keletihan sepanjang pengajian. Bagaimanapun, beliau meneruskan usaha memantapkan bacaan sebelum menjalani penilaian oleh Sheikh Nabil.

Walaupun berdepan masalah suara akibat sakit tekak, Haikal berjaya memperoleh keputusan Mumtaz dalam penilaian tersebut. Beliau kemudiannya menerima Ijazah Sanad al-Quran Riwayat Hafs ‘an ‘Asim yang disampaikan oleh Sheikh Hassan dalam majlis pengijazahan yang turut disaksikan Naib Canselor UNITEN serta wakil Kedutaan Malaysia di Mesir.

“Ujian kesihatan dan kepenatan ini benar-benar mengajar saya erti kesabaran yang tinggi dalam menuntut ilmu al-Quran,” katanya.

Pengiktirafan itu menjadi kemuncak kepada usaha Haikal sepanjang mengikuti program berkenaan. Beliau menyifatkan penerimaan ijazah tersebut sebagai penghargaan bermakna atas kesungguhan dan pengorbanan sepanjang menuntut ilmu.

Muhammad Haikal Redzwan menerima Ijazah Sanad al-Quran Riwayat Hafs ‘an ‘Asim selepas memperoleh keputusan Mumtaz

Selain pengajian al-Quran, program itu turut merangkumi aktiviti tadabbur di beberapa lokasi bersejarah di Mesir, antaranya Piramid Giza, Kompleks Makam Imam Syafi‘i, Kincir Air Nabi Yusuf AS di Fayoum dan Tasik Qarun. Melalui perkongsian oleh pembimbing program, peserta didedahkan kepada kisah sejarah, ketamadunan dan pengajaran daripada peristiwa yang berkaitan dengan kehidupan serta nilai dalam Islam.

Peserta program, barisan pensyarah UNITEN, dan pihak agensi pelancongan sewaktu lawatan di Makam Imam Syafi’i

Pengalaman tersebut turut merangkumi pelayaran menggunakan kapal layar tradisional felucca menyusuri Sungai Nil. Bagi Haikal, pengisian berkenaan memberikan ruang untuk menghayati kebesaran Allah SWT serta memahami pengajaran daripada sejarah dan kehidupan masyarakat setempat. Aktiviti bersama peserta lain juga mengeratkan hubungan antara mahasiswa UTM dengan pelajar UNITEN.

Perjalanan diteruskan ke Madinah, Arab Saudi, dengan kunjungan ke Masjid Nabawi, Raudhah, Masjid Quba’ dan Bukit Uhud. Haikal berpeluang mengimarahkan Masjid Nabawi, mengulang bacaan al-Quran serta menunaikan solat di lokasi yang mempunyai nilai penting dalam sejarah Islam.

Muhammad Haikal Redzwan di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah

Lawatan ke Bukit Uhud pula memberikan peluang kepada peserta mendalami peristiwa Perang Uhud melalui perkongsian pembimbing program. Pengalaman itu menjadi antara pengisian yang memberi kesan kepada Haikal dalam menghayati pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Program berkenaan kemudian berakhir di Makkah dengan pelaksanaan ibadah umrah. Walaupun mengalami kecederaan ligamen kaki akibat kemalangan motosikal sebelum menyertai program, Haikal berjaya menyempurnakan ibadah sa‘ie dengan sokongan rakan-rakan peserta.

Para peserta Program Tahsin al-Quran Bersanad dan Tadabbur 2026 selepas menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram, Makkah

Pengalaman menuntut ilmu dan mengikuti pengisian tadabbur di luar negara itu mengukuhkan hasrat Haikal untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh bagi membimbing serta menyumbang kepada komuniti mahasiswa UTM.

Pencapaian beliau diharap dapat menjadi dorongan kepada mahasiswa lain untuk terus mendalami al-Quran, di samping membangunkan potensi akademik dan sahsiah diri secara seimbang.

Sumber : UTM NewsHub

Total Views: 7