Advertisement

HEP UiTM Energy Smart Campus Didik Pelajar Guna Elektrik Secara Selamat dan Cekap

Oleh: Norazlan Hashim

SHAH ALAM, 20 November 2026 – Amalan kecil seperti mematikan lampu, mencabut pengecas dan menggunakan peralatan elektrik secara berhemah mampu memberi impak besar terhadap penjimatan tenaga apabila lebih 200 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) didedahkan kepada budaya penggunaan elektrik yang selamat dan cekap menerusi program HEP UiTM Energy Smart Campus.

Program julung kali yang berlangsung di Kolej Mawar, UiTM Shah Alam itu merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap keselamatan elektrik, mengurangkan pembaziran tenaga serta memupuk tanggungjawab bersama dalam pengurusan kemudahan kolej kediaman.

Menariknya, dapatan awal penilaian sebelum dan selepas program menunjukkan peningkatan skor bagi kesemua 10 aspek yang dinilai, dengan skor pasca program mencatatkan antara 4.86 hingga 4.89 daripada lima mata.

Seorang peserta mengemukakan soalan kepada penceramah semasa sesi soal jawab untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai Time of Use (ToU).

Peningkatan paling ketara direkodkan dalam kefahaman mahasiswa mengenai konsep tarif elektrik mengikut waktu penggunaan (Time of Use atau ToU), diikuti pengetahuan tentang tindakan yang betul ketika berlaku renjatan elektrik, sekali gus menunjukkan perkembangan positif tahap pengetahuan peserta selepas mengikuti program berkenaan.

Inisiatif di bawah kepimpinan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi itu menjadikan Kolej Mawar sebagai kolej kediaman pertama melaksanakan program berkenaan, dengan pengelolaan pengurusan kolej yang diketuai pengetuanya, Dr. Shamshimah Samsuddin.

Program tersebut turut menggabungkan kepakaran akademik Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam menerusi sesi perkongsian oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Rahimi Baharom selaku penceramah utama.

Ts. Dr. Rahimi Baharom merumuskan kepentingan keselamatan elektrik, penjimatan tenaga dan peranan pelajar dalam membudayakan penggunaan elektrik secara berhemah.

Beliau dibantu tiga fasilitator, iaitu Dr. Norazlan Hashim, Profesor Ir. Dr. Mohamad Huzaimy Jusoh dan Ts. Wan Muhamad Hakimi Wan Bunyamin, yang berkongsi panduan praktikal mengenai pengurusan tenaga elektrik dalam kehidupan seharian.

Sepanjang program, mahasiswa didedahkan kepada tiga komponen utama merangkumi konsep Energy Smart Living, keselamatan elektrik dan penjimatan tenaga bagi membentuk tabiat penggunaan elektrik yang lebih bertanggungjawab.

Dr. Shamshimah, Ts. Dr. Rahimi, Prof. Ir. Dr. Huzaimy dan Dr. Norazlan sewaktu program HEP UiTM Energy Smart Campus.

Antara aspek keselamatan yang diberikan penekanan termasuk risiko penggunaan soket secara berlebihan, kabel rosak, pengecas bermasalah serta tindakan sewajarnya ketika menghadapi insiden renjatan elektrik.

Peserta turut diperkenalkan kepada konsep penggunaan elektrik pada waktu puncak dan bukan puncak, selain memahami bagaimana penggunaan beberapa peralatan berkuasa tinggi secara serentak boleh meningkatkan beban elektrik.

Lebih penting, program ini membawa mesej bahawa usaha menjimatkan elektrik bukan sekadar tanggungjawab pihak pengurusan universiti, sebaliknya memerlukan perubahan sikap dan penglibatan aktif setiap mahasiswa sebagai pengguna kemudahan kampus.

Pembudayaan amalan tersebut berpotensi membantu universiti mengurangkan pembaziran tenaga dan mengurus kos utiliti dengan lebih cekap, khususnya di kolej kediaman yang menempatkan sejumlah besar mahasiswa.

Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi Pelan Strategik UiTM2030 dalam memperkukuh kelestarian kampus serta membangunkan mahasiswa yang mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Susulan pelaksanaan edisi sulung di Kolej Mawar, HEP UiTM merancang untuk memperluas inisiatif Energy Smart Campus ke kolej kediaman lain dalam sistem UiTM agar lebih ramai mahasiswa berpeluang memperoleh pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan tenaga.

Program ini sekali gus memperlihatkan bahawa transformasi ke arah kampus lestari bukan semata-mata bergantung kepada teknologi dan infrastruktur, tetapi turut bermula dengan perubahan budaya serta tindakan kecil yang diamalkan secara konsisten oleh setiap warga kampus.

Total Views: 1